[VIDEO] Liverpool tewas kepada Leicester, Klopp berang keputusan VAR

LONDON: Pengendali Liverpool Jurgen Klopp berang dengan keputusan VAR yang membenarkan gol penyamaan Leicester.

Sebelum itu The Reds mendahului skuad kendalian Brendan Rodgers hasil jaringan Mohamed Salah.

Bagaimanapun sepakan percuma kontroversi minit ke-78 James Maddison mencetus kebangkitan Leicester yang meledak dua gol lagi untuk kemenangan 3-1.


Kekasaran Thiago Alcantara ke atas Harvey Barnes pada awalnya diberikan penalti, tetapi selepas penilaian VAR insiden berkenaan didapati berlaku di luar kotak dan Leicester hanya diberikan sepakan percuma.

Bagaimanapun Maddison, 24, melencong bola melepasi penjaga gol Liverpool Alisson Becker untuk gol penyamaan.

Gol berkenaan pada awalnya dibatalkan kerana Daniel Amartey didapati ofsaid, tetapi dibenarkan semula selepas VAR mendapati pemain Ghana itu sebenarnya tidak ofsaid.





“Kami dibolosi dengan gol yang amat pelik – saya kerap memperkatakannya tetapi ia adalah VAR. VAR sepatutnya objektif, tetapi ia tidak begitu.

“Kerana seseorang perlu membuat keputusan sama ada ia ofsaid atau tidak dan bilakah saat yang sesuai untuk kita memutuskan ofsaid.

“Saya melihat ulang tayang beberapa kali dan daripada apa yang saya lihat Maddison tidak menyentuh bola ketika dia menilai situasi berkenaan.

“Kakinya (Maddison) sudah berada di belakang bola, jadi bagaimana seseorang menentukan yang dia sudah menyentuh bola?





“Sejurus selepas itu tiga pemain Leicester berada dekat dengan gol,” kata Klopp.

Terdahulu Leicester menambah derita Liverpool apabila tiga gol lewat permainan membolehkan The Foxes menewaskan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu 3-1 di Stadium King Power.

Skuad kendalian Jurgen Klopp kini tewas tiga perlawanan berturut-turut dan mampu tergelincir ke tangga keenam sekiranya Chelsea dan West Ham merakam kemenangan di laman sendiri esok.