Aksi kelayakan sah ditunda ke Jun secara karnival

KUALA LUMPUR: Baki aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi Kumpulan G yang turut membabitkan skuad Harimau Malaya akan berlangsung secara karnival pada Jun ini.

Mengesahkan perkembangan itu di sini, semalam, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John bagaimanapun menjelaskan gelanggang perlawanan masih belum diputuskan.



Katanya, gelanggang akan dipilih oleh AFC berdasarkan beberapa kriteria penting yang ditetapkan dan semua pasukan akan diberi peluang untuk memohon menjadi tuan rumah.

“Sekarang ini venue kita akan buka kepada negara dalam Kumpulan G dan juga mana-mana kumpulan lain. Kita buat keputusan untuk tunda dulu sebab venue kita masih ada masa (untuk putuskan).

“Selepas ini, kita akan hantar surat kepada pasukan dalam semua kumpulan untuk minta mereka buat permohonan menjadi tuan rumah dan kita akan bagi kriteria yang kita perlukan.





“Kita tak perlu minta persetujuan semua pihak (untuk pilih venue perlawanan). Kita akan pilih venue paling sesuai dari segi persiapan logistik, kesihatan, keselamatan, kuarantin ada kah atau tidak dan sebagainya,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Terdahulu, AFC memberi tempoh sehingga pada Isnin lalu untuk semua pasukan memuktamadkan pendirian berhubung jadual baki perlawanan.

Sebelum ini, empat negara dalam Kumpulan G merangkumi Malaysia, Indonesia, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) – kecuali Vietnam – dilaporkan bersetuju untuk menghabiskan baki perlawanan kelayakan secara karnival pada Jun.




Keputusan AFC itu dilihat memberi sedikit kelegaan skuad buat Harimau Malaya kerana memiliki tempoh lebih lama untuk melakukan persiapan rapi selepas kes COVID-19 di negara ini yang masih berada pada tahap membimbangkan.

Malah, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sebelum ini menjelaskan pihaknya tetap akan mengadakan kem latihan pusat bulan depan walaupun aksi kelayakan di tunda ke Jun.

Berdasarkan jadual asal, Harimau Malaya dijadualkan menentang UAE pada 25 Mac di gelanggang lawan, Vietnam (30 Mac) di Kuala Lumpur dan perlawanan terakhir Kumpulan G di Bangkok dengan Thailand (15 Jun).