Faiz Subri pilih Kuala Kangsar, Liga M3

PETALING JAYA: Bukan Liga Super, bukan juga Liga Perdana, sebaliknya pemenang Anugerah Puskas 2016, Mohd. Faiz Subri bersetuju memilih kelab Liga M3 iaitu Kuala Kangsar FC (KK FC) bagi saingan musim 2021.



Kehadiran bekas pemain Pulau Pinang itu disahkan sendiri oleh Pengurus KK FC, Datuk Shaharol Asafali ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam dengan memberitahu Faiz sudahpun bersetuju secara lisan.

“Setelah perbincangan awal lebih kurang pukul lebih kurang dua petang tadi, kami terima panggilan daripada ejen Faiz dan membincangkan tahap akhir berkenaan gaji dan tempat tinggal dia.





“Dalam perbincangan itu kami bersetuju dengan segala permohonan Faiz dan insya-Allah pada Jumaat depan (5 Mac) akan ada majlis menandatangani kontrak antara Faiz dengan KK FC di Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar,” katanya.

Faiz, 34, yang dianggap bintang bola sepak negara berikutan kejayaan memenangi anugerah gol tercantik di Zurich, Switzerland, bersedia membuat kemunculan semula dalam kancah liga tempatan dengan menjadikan liga divisyen tiga sebagai tapak kebangkitan.

Pemain kelahiran Kedah itu berehat sepanjang 2019 dengan Pulau Pinang pasukan terakhir diwakilinya sehingga tamat saingan Liga Malaysia 2018.





Terdahulu Faiz mengakui tidak kisah beraksi di Liga M3 memandangkan persaingan untuk merebut tempat bersama pasukan di Liga Super dan Liga Perdana cukup sengit.

“Berita ini disambut baik oleh pengurusan yang mengharapkan seorang ikon berpengalaman, ditambah lagi Anugerah Puskas, dapat memimpin dan memberi inspirasi kepada pemain muda.

“Ia sekali gus dapat mengimbangi KK FC ke peringkat kebangsaan,” kata Shaharol.