Guilherme de Paula serah nasib kepada Tan Cheng Hoe

Kuala Lumpur: Tonggak baharu naturalisasi negara, Guilherme de Paula enggan terlalu awal memikirkan peluangnya untuk bersama skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat apabila menyerahkan nasibnya kepada pengendali negara, Tan Cheng Hoe untuk dinilai.

Baginya, keutamaan ketika ini adalah membantu persiapan pasukan Perak FC yang kini pada fasa terakhir sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya pada Jumaat ini.



Bagaimanapun, penyerang prolifik dari Brazil itu mengakui gembira dengan pengesahan statusnya sebagai pemain tempatan selepas menunggu agak lama biarpun permohonannya dilakukan bersama Liridon Krasniqi sebelum ini.

Namun, Liridon terlebih dahulu diberi taraf pemain tempatan pada awal tahun lalu untuk bergelar tonggak naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh pada 2018.




“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dan memudahkan proses ini (naturalisasi) selama ini. Saya sangat gembira, begitu juga keluarga saya yang gembira berada di sini.

“Saya dan keluarga sudah menganggap Malaysia umpama rumah kami dan saya sudah lama berada di negara ini sejak 2015. Sudah tentunya ia perasaan yang sukar untuk diluahkan.

“Tetapi untuk bertanya mengenai pasukan kebangsaan, saya fikir biarlah jurulatih yang menentukan. Saya tidak mahu memikirkan buat masa ini, biarlah saya beri tumpuan dalam Liga M dulu.




“Namun jika ada panggilan, saya tetap sedia. Tapi macam saya katakan, fokus saya waktu ini adalah bersama Perak,” katanya.

Semalam, bekas ayam tambatan Selangor, PDRM dan Kuala Lumpur itu dilaporkan sah muncul tonggak naturalisasi ketiga negara selepas Sumareh dan Liridon.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan status De Paula itu yang pastinya menambah kekuatan skuad Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun depan.