Valencia bukan untuk dijual

KUALA LUMPUR: Impian peminat bola sepak tanah air untuk melihat kelab Sepanyol, Valencia menjadi milik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mungkin tidak kesampaian.


Ia susulan Presiden Valencia, Anil Murthy dilaporkan berkata pemilik kelab, Peter Lim tidak mempunyai perancangan untuk menjual kelab itu.

Portal Football ESPANA melaporkan Murthy sudah bercakap mengenai perkara itu dengan Lim dan menjelaskan tiada petunjuk bahawa kelab itu akan dijual.





“Kelab ini bukan untuk dijual. Rakan saya memaklumkan mengenai (spekulasi di) Instagram Putera Raja Johor (TMJ), jadi saya bercakap dengan Peter dan tiada petunjuk mengenai kemungkinan menjual kelab ini,” kata Murthy.

Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa TMJ yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (TMJ) memberi bayangan bakal membeli Valencia.

Malah, berita itu turut menjadi topik hangat yang dimainkan oleh beberapa media di Sepanyol.

Spekulasi pembelian Valencia oleh TMJ sebenarnya pernah muncul beberapa tahun lalu kerana beliau mempunyai hubungan rapat dengan Peter Lim.