JDT tak bernasib baik – TMJ

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan nasib tidak menyebelahi Harimau Selatan ketika terikat 1-1 dengan Selangor FC di gelanggang sendiri, malam tadi.



Menerusi satu komen yang ditinggalkan Tunku Ismail di laman Instagram kelab, officialjohor, beliau mahu skuad kendalian Benjamin Mora itu terus melangkah ke depan kerana perjalanan musim ini masih panjang.

“Pertama, dua penalti tak masuk dan bola kena palang. Tidak bernasib baik,” tulis Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).





“Kedua, apabila Elche seri dengan Barcelona, Barcelona sedih dan Elche gembira. Itu cerita dia. Jadi sekarang bergerak dan pandang ke depan. Perjalanan masih jauh.”

Pada aksi malam tadi, penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun muncul pemain pertama merobek gawang JDT musim ini apabila meledak gol pada minit ketujuh.

Kedudukan itu bagaimanapun hanya bertahan lima minit apabila bintang import baharu JDT, Bergson Da Silva menyamakan kedudukan selepas menyudahkan umpanan Gonzalo Cabrera.





Skuad Harimau Selatan yang juga juara Liga Super tujuh kali berturut-turut bagaimanapun melepaskan dua peluang keemasan untuk melebarkan rekod kemenangan musim ini apabila Gonzalo Cabrera dan Bergson Da Silva gagal menyudahkan sepakan penalti pada babak pertama dan kedua.