Harapan Cheng Hoe terhadap De Paula

KUALA LUMPUR: Tan Cheng Hoe berharap dapat bekerjasama bagi tempoh panjang bersama pemain naturalisasi terbaharu, Guilherme de Paula kerana beliau mahu menerapkan permainan serangan yang lebih banyak.

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan itu berkata semua 28 pemain yang dipilih untuk latihan sembilan hari di Johor Bahru mengalu-alukan kehadiran de Paula ke pasukan itu buat pertama kalinya selepas disahkan sebagai pemain naturalisasi ketiga negara awal bulan ini.

Beliau berharap pemain yang dilahirkan di Brazil itu akan kembali kepada prestasi terbaiknya sebelum aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Jun ini.


“Saya tidak mahu beliau tertekan menyertai pasukan kebangsaan kerana harapan terhadapnya amat tinggi dan besar. Tetapi tentunya beliau sendirian tidak akan dapat lakukan apa-apa, kita perlukan kerja dan semangat sepasukan bagi membantu antara satu sama lain.

“Tentunya bukan saya sahaja, keseluruhan kakitangan dan keseluruhan pasukan mengalu-alukan De Paula sebagai sebahagian daripada pasukan dan harapannya kita boleh bekerjasama untuk satu tempoh yang panjang,” katanya dalam sidang media secara maya di sini.

De Paula adalah pemain naturalisasi ketiga negara selepas Mohamadou Sumareh yang lahir di Gambia dan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Liridon Krasniqi (Kosovo).





Pemain serangan Perak FC itu adalah antara lima pemain penyerang disenaraikan untuk latihan pusat bersama Muhammad Syafiq Ahmad (JDT), Luqman Hakim Shamsuddin (KV Kortrijik), Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Selangor FC) dan Norshahrul Idlan Talaha (Sarawak United FC).

Sementara itu, De Paula bersemangat untuk kembali kepada prestasi terbaiknya dan terus bemain di bawah Cheng Hoe.

“Saya gembira bersama kakitangan, jurulatih dan pemain-pemain. Saya mahu terus kekal di sini, saya amat bersemangat. Ya saya perlu terus kekal cergas dan pastikan minda saya kuat. Bagi saya usia bukanlah satu masalah, Malaysia juga mempunyai pemain senior yang bagus.





“Semua bercakap mengenai saya, bagi saya tidak masalah, mereka boleh nyatakan pandangan. Saya ambil yang baik daripada apa yang mereka cakapkan. Saya rasa lebih bersemangat apabila orang kata yang buruk mengenai saya, tiada masalah, saya seorang pemain profesional,” kata pemain berusia 35 tahun itu.

Pemain pasukan kebangsaan sedang menjalani latihan pusat mereka yang pertama dalam tempoh 16 bulan di pusat latihan JDT, bermula sejak Isnin lalu. – BERNAMA