Cheng Hoe intip tektikal UAE

KUALA LUMPUR: Meskipun tidak berpeluang mengharungi aksi persahabatan antarabangsa, barisan kejurulatihan Harimau Malaya tidak hanya sekadar fokus kepada kem latihan pusat untuk persiapan pasukan menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun depan.



Sebaliknya, ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelaskan pihaknya juga melakukan ‘risikan’ atau pemantauan bagi mendapatkan gambaran mengenai strategi lawan dalam Kumpulan G terutama tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata, barisan kejurulatihan Harimau Malaya juga akan memantau aksi persahabatan UAE yang dijadualkan akan menentang India pada 29 Mac ini.

“Kami barisan jurulatih bukan saja memantau perlawanan UAE menentang India, sebelum ini kita juga memantau dari segi perlawanan tahun lepas menentang Uzbekistan, Tajikistan dan juga Bahrain.





“Kita juga dapat tahu info mengenai kesebelasan utama mereka. Itu sedikit sebanyak memberi kita gambaran untuk menghadapi perlawanan pertama menentang UAE di tempat mereka,” katanya hari ini.

Skuad Harimau Malaya dijadual akan bertemu UAE pada 3 Jun sebelum menentang Vietnam (11 Jun) dan aksi terakhir menentang Thailand (15 Jun).

Selain itu, Cheng Hoe menjelaskan dia akan memulakan latihan dengan intensiti yang tinggi bagi membiasakan diri pemain dengan corak permainan sebenar yang bakal dihadapi mereka pada Jun nanti.





“Sudah dua, tiga hari latihan kita membabitkan intensiti yang perlahan, mungkin malam ini kita akan meningkatkan sedikit intensiti latihan supaya kita nak pemain tahu apabila datang perlawanan kelayakan nanti dari segi intensiti dan tempo memang tinggi.

“Jadi, kita akan tingkatkan lagi dari segi latihan, tetapi kita tetap berjaga-jaga bagi mengelak pemain mengalami kecederaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas pengendali Kedah itu berkata, Mohamadou Sumareh masih belum boleh menyertai latihan kerana dalam tempoh pemulihan daripada kecederaan.