isaac

Isaac Angking sah tolak Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak tanah air sudah boleh melupakan hasrat untuk melihat Isaac Angking menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Ia selepas pemain kacukan Malaysia-Amerika Syarikat itu memilih untuk bersama pasukan antarabangsa Puerto Rico.



Angking yang beraksi di posisi tengah tampil bersama Puerto Rico dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 menentang St Kitts and Navis, pagi tadi.

Pemain muda yang baru berusia 21 tahun itu diturunkan dalam kesebelasan utama dan beraksi selama 64 minit sebelum digantikan dengan Wilfredo Rivera dan perlawanan itu berkesudahan Puerto Rico tewas 0-1.





Liridon kini pemain naturalisasi kedua Harimau Malaya
Bekas pemain New England Revolution di saingan Major League Soccer (MLS) itu dikatakan mempunyai pertalian dengan Malaysia melalui ibunya yang berasal dari Sarawak.

Menurut undang-undang yang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), seseorang pemain itu tidak dibenarkan untuk menukar skuad kebangsaan yang diwakili apabila sudah beraksi dalam perlawanan rasmi yang dikelola badan bola sepak dunia itu.




Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan Angking tidak berminat mewakili Harimau Malaya selepas pemain itu membuat keputusan menyarung jersi Puerto Rico.

Sebelum ini, juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dilaporkan berminat untuk menandatangani Angking bagi memperkuatkan lagi skuad Harimau Selatan.