Cheng Hoe tak panik tanpa Brendan

KUALA LUMPUR: Tan Cheng Hoe tidak panik walaupun pasukan bimbingannya akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 3 Jun ini tanpa kelibat Brendan Gan.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu berkata, dia memiliki banyak pilihan pemain yang berkualiti termasuk Liridon Krasniqi, Nor Azam Azih dan Nazmi Faiz Mansor bagi mengisi kekosongan di bahagian tengah yang ditinggalkan itu.



“Memang dengan UAE dia (Brendan) tak dapat bermain, kita kena cari pengganti nanti,” kata Cheng Hoe pada sidang media yang dilangsungkan secara maya, semalam.

“Kita ada mencuba beberapa pemain pilihan untuk mengganti Brendan. Kita nampak macam Nazmi, Danial Amier Norhisham selain beberapa pilihan lain seperti Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Azih.





“Selain itu kita juga mengharapkan Liridon nanti dapat dipanggil. Kita harap dapat mengatasi masalah di posisi pemain tengah ini.”

Brendan berdepan penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul kad kuning dalam aksi sebelum ini dan bakal kembali menyertai skuad Harimau Malaya berdepan Vietnam, 11 Jun.





Selain itu, Cheng Hoe mengesahkan pihaknya terpaksa melepaskan Mohamadou Sumareh daripada kem latihan pusat kali ini kerana pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu perlu menjalani proses pemulihan.

“Dia (Sumareh) mengalami kecederaan ketika menentang Perak. Jadi dia dicadang buat rawatan dekat JDT dan kita lepaskan dia.

“Kita tahu JDT mempunyai fasiliti yang terbaik untuk dia memulihkan kecederaan. Sebab itu kita melepaskan dia dan kita harap dia pulih 100 peratus untuk kem latihan nanti,” katanya.