Dah dua bulan tak dibayar gaji

Kuala Lumpur: Meskipun sudah berstatus kelab, masalah tunggakan gaji nyata masih menjadi ‘barah’ kepada pasukan di Liga Malaysia (Liga M).

Terbaru difahamkan Perak FC berdepan kegagalan membayar gaji barisan pemainnya selama dua bulan dan mereka boleh meninggalkan kelab itu menerusi pembatalan kontrak dengan mengaktifkan klausa 9.7.


Sumber memaklumkan esok genap dua bulan pengurusan Perak gagal membayar gaji pemain.

“Mengikut klausa 9.7, pemain boleh mengaktifkan klausa itu jika kelab gagal membayar gaji selama dua bulan. Kemudian mereka tidak terikat dengan mana-mana kontrak dan boleh menyertai pasukan lain.





“Difahamkan ramai pemain yang sedang menunggu tarikh itu untuk membuat tindakan sedemikian. Mereka juga sedang mempertimbangkan tawaran daripada kelab lain,” katanya.

Jelas sumber, sehingga kini rata-rata barisan pemain Perak masih menghormati kontrak bersama kelab itu dan tidak mahu membuat tindakan secara terburu-buru.

“Sebagai majikan, mereka harus faham bahawa pemain juga seperti insan biasa yang mempunyai komitmen harus dibayar setiap bulan.





“Tunggakan gaji selama dua bulan pastinya membebankan pemain dan boleh menjejaskan prestasi mereka di atas padang.

“Harap pihak pengurusan Perak FC dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Perak kini menduduki tempat kesembilan Liga Super dengan mengumpul lima mata daripada enam perlawanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Rizal Ali Naizali gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut. HMetro