Tiada masalah pengadil lupa bawa kad

KUALA LUMPUR: Bukanlah satu ‘dosa besar’ sekiranya pengadil perlawanan terlupa untuk membawa kad kuning atau merah ketika bertugas di padang.

Ini kerana bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan situasi itu tidak langsung menjejaskan perlawanan dan ia berkemungkinan berlaku selepas pengadil melakukan ‘semakan’ ketika rehat separuh masa.



Justeru, Subkhiddin yang juga tenaga pengajar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu mengharapkan insiden terbabit tidak dijadikan isu untuk melabel kualiti pengadilan yang lemah namun melihat ia menjadi pengajaran yang berguna sebagai peringatan pada masa hadapan.

“Situasi seperti ini memang pernah berlaku tetapi sangat jarang berlaku. Contohnya, pengadil terlupa untuk membawa bola ke garisan tengah untuk sepak mula pada masa kedua dan begitulah juga dengan kad kuning serta merah.





“Kebiasaannya sebaik separuh masa berakhir, pengadil akan ke bilik persalinan dan membuat semakan bersama dengan rakannya.

“Ketika inilah pengadil akan keluarkan kad kuning yang biasanya digunakan untuk mencatat semua jenis kesalahan untuk rujukan dan mereka mungkin terlupa untuk memasukkannya semula ke dalam poket.

“Apapun, pujian harus diberikan kepada pengadil yang bertindak memperbetulkan keadaan dengan mendapatkan kad kuning daripada rakan sepasukan iaitu pegawai keempat dan melayangkan kepada pemain yang bersalah,” katanya.





Terdahulu, pengadil perlawanan antara Selangor FC (SFC) menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC kelmarin, Mohd Fusser Mad Sallih mencuri tumpuan selepas dilihat terlupa untuk membawa kad.

Insiden berlaku ketika dia cuba melayangkan kad kepada pemain SFC selepas mengasari pemain KDA FC dan dia tercari-cari kad dalam poket namun tidak menjumpainya. – Berita Harian