Dollah belum dapat skuad yang diimpikan

Kuala Lumpur: Sejak mengambil alih Sri Pahang FC, pengendalinya Dollah Salleh mengakui masih lagi tidak mendapat pasukan diimpikan untuk merencanakan setiap taktikal dan strategi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan.

Dollah berkata, ketika ini, beliau bersama barisan kejurulatihan masih lagi mencari rentak permainan supaya pemain mampu menggalas cabaran mencipta kejayaan pada perlawanan Liga Super.


“Jadi saya rasa kita kena kemaskan setiap bahagian serangan dan pertahanan terutama ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) nanti.

“Persembahan pasukan Sri Pahang ini saya masih belum dapat lagi skuad diidamkan daripada awal saya ambil lagi kita masih lagi tercari-cari rentak permainan,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam, skuad Tok Gajah tewas 2-1 ketika bertemu Kuala Lumpur City FC.





Gol tuan rumah disumbangkan oleh tonggak import Paulo Josue dan pemain kacukan Daniel Ting manakala jaringan skuad Tok Gajah pula disumbangkan oleh Herold Goulon untuk kedudukan kekal 2-1 hingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Pengendali Kuala Lumpur City FC Bojan Hodak pula enggan mendabik dada walaupun berjaya mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut.





Katanya, barisan pemain terutama di bahagian pertahanan berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan komited pertahankan kubu daripada serangan lawan.

“Banyak peningkatan dipamerkan pemain berbanding perlawanan sebelum ini dengan kebanyakan mereka menunjukkan persembahan baik dalam tempoh 90 minit.

“Walaupun tanpa kehadiran penyerang utama, pemain lain mampu merencanakan serangan dengan menjaringkan gol untuk memberi kemenangan kepada pasukan,” katanya.