Kelantan, Melaka boleh jadi JDT

KUALA LUMPUR: Kelantan FC dianggap tidak mustahil boleh menjadi pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang setaraf dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada masa akan datang.

Perkara itu disuarakan pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa selepas melihat perancangan dan misi yang direncanakan pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman.


Beliau berkata, satu lagi pasukan yang berpotensi mengikut jejak JDT adalah Melaka United FC selepas pengurusan pasukan itu berani menjual sebahagian besar pegangan saham kepada syarikat swasta.

“Ya (Kelantan dan Melaka) bergerak ke arah JDT. Jadi, kita harap semua FC perlu keluar dari kepompong meraih bantuan daripada kerajaan negeri dan perlu berkorban. Kalau tidak isu kewangan (seperti masalah gaji) akan terus jadi duri dalam daging.

“Kita boleh beri satu tepukan kerana mereka berani keluar daripada kepompong lama. Saya tengok sasaran Norizam dalam lima tahun ke Liga Super realistik, sebab dia bermula dari bawah dan tidak berbelanja besar.




“Kita juga nampak peta hala tuju Kelantan berlandaskan FC, maksudnya dia (Norizam) bercita-cita nak buat gelanggang latihan dan bangunkan kelab. Mungkin kita akan nampak pelaburan yang besar seperti yang berlaku dekat JDT.

“Kelantan tak mustahil boleh jadi macam JDT tapi Melaka United saya tak pasti sebab ia belum memiliki penuh pegangan oleh entiti yang melabur,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Selain itu, Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam berkata pasukan lain juga perlu mengikut jejak Kelantan dan Melaka United untuk berkorban menyerahkan pemilikan atau pegangan saham kepada syarikat swasta selari dengan pertukaran FA ke FC.





Malah, katanya, individu yang gagal menguruskan pasukan hingga berlakunya masalah tunggakan gaji perlu dengan rela hati melepaskan jawatan.

“Ada pasukan yang mana pertukaran dari FA ke FC tidak dilakukan secara keseluruhan tanpa ada pemilikan baharu. Jadi ada yang masih bertunjangkan kepada FA atau mengharap dana kerajaan negeri,” katanya. – B. Harian