Skuad Harimau Malaya dijangka ke UAE tanpa vaksin

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya kemungkinan besar terpaksa turun ke ‘medan perang’ tanpa perlindungan.

Ini kerana tiada sebarang jaminan dapat diberikan yang mereka akan menerima suntikan vaksin COVID-19 sebelum berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menghadapi baki pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, pada Jun ini.




Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata pihaknya sudah pun mengemukakan perkara itu kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin namun masih belum ada sebarang kepastian.

“Saya tidak dapat beri jaminan mengenai perkara itu, cuma saya sudah kemukakan (kepada Khairy),” katanya ketika ditanya sama ada skuad Harimau Malaya sempat menerima vaksin sebelum berlepas ke UAE.

Reezal ditemui pemberita selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras di sini, hari ini.




UAE akan menjadi medan ‘perang’ buat skuad Harimau Malaya menghabiskan kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe dijadualkan berdepan UAE pada 3 Jun, sebelum menentang Vietnam (11 Jun) dan perlawanan terakhir dengan Thailand (15 Jun).

Skuad Harimau Malaya kini menghuni tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata, dua mata di belakang pendahulu, Vietnam sementara Thailand di kedudukan ketiga selepas mengumpul lapan mata.





Terdahulu, Reezal bersama 264 orang atlet dan pegawai yang terbabit dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 menerima suntikan pertama vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech.

Pelumba basikal trek, Muhammad Fadhil Zonis menjadi atlet pertama negara yang menerima suntikan vaksin COVID-19, hari ini.

Dalam pada itu, Reezal memaklumkan, jaguh basikal trek, Azizulhasni Awang dan rakan sepasukan, Shah Firdaus Sahrom akan menerima suntikan vaksin pertama mereka sebaik pulang ke tanah air dari Melbourne, Australia pada penghujung Mei.

“Namun, kami juga sedang menguruskan kemungkinan untuk mereka menerima vaksin di Australia tetapi seandainya tidak dapat di sana, mereka akan terima di sini,” katanya.

Reezal berharap atlet yang sudah menerima vaksin akan dapat memberi tumpuan sepenuhnya bagi melakukan persiapan menghadapi Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.