MFL beri amaran penyokong tidak patuhi SOP stadium

KUALA LUMPUR: “Jangan sampai penyokong tidak dibenarkan hadir ke stadium lagi sekali!”

Itu peringatan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan kepada setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M) supaya tidak memandang ringan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan dan terus mengikut ketetapan yang sudah diberikan.



Jelasnya, badan pengendali liga itu sudah menerima banyak laporan daripada pemantau Majlis Keselamatan Negara (MKN) khususnya membabitkan penjarakan sosial di tempat duduk penyokong yang tidak dipatuhi penonton yang hadir ke stadium.

“Apabila isu ini berlaku, MFL selaku badan pengendali liga yang akan dipertikaikan. Jadi, kalau tiada juga perubahan atau lebih teruk lagi, MFL akan membuat keputusan untuk tidak membenarkan venue itu dimasuki penonton.





“Itu sahaja yang boleh dibuat MFL ketika ini. Kita pun sedang memantau beberapa venue dan selepas perlawanan di bulan puasa ini, mungkin kita akan ambil tindakan ke atas venue terbabit,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Undian eMFL Liga Super 2021 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Dalam perkembangan lain, Ghani mengambil pendekatan untuk berahsia apabila diajukan soalan mengenai calon presiden baharu MFL selepas penyandangnya ketika ini yang juga Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bakal melepaskan jawatannya selepas ini.





“Tunggulah dulu. Ia (presiden baharu MFL) akan diputuskan oleh lembaga pengarah. Saya tidak tahu kerana saya cuma Ketua Pegawai Eksekutif yang menjalankan tugas seharian. Terpulanglah kepada ahli lembaga pengarah untuk menentukannya.

“Banyak nama yang disenaraikan, jadi terpulanglah. Tiada komen (ditanya jika beliau bersedia jika dipilih sebagai presiden baharu MFL),” katanya.