Harimau Malaya divaksin Isnin depan

KUALA LUMPUR: Seramai 78 pemain Harimau Malaya termasuk pegawai dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin akan divaksinkan Isnin depan di Putrajaya.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam sidang akhbar pada majlis pelancaran Detik 100 Hari ke Olimpik Tokyo.




“Alhamdulillah berkat daripada usaha kita yang berterusan, kami ingin memaklumkan bahawa sejumlah 78 pemain, jurulatih dan pegawai termasuk Presiden FAM akan divaksinkan pada tarikh yg lebih awal iaitu 19 April ini hari Isnin di Dewan Seri Seroja, Presint 15, Putrajaya.

“Bermakna mereka dapat divaksin sepenuhnya (dua dos) sebelum berangkat ke Dubai bagi menghadapi perlawanan bermula 23 Mei,” katanya.

Dos kedua akan diterima tiga minggu atau 21 hari selepas suntikan pertama iaitu pada 10 Mei.




Skuad Harimau Malaya pada awalnya dijadualkan menerima suntikan vaksin tersebut pada penghujung bulan April ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan menyertai kem latihan pada 16 Mei ini, sebelum berlepas ke Bahrain tiga hari kemudian.

Pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata perkembangan itu cukup melegakan anak buah ketua jurulatih Tan Cheng Hoe untuk berdepan UAE, Vietnam dan Thailand dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan berkenaan.




Malah, beliau berkata pemberian vaksin Covid-19 juga dapat membina keyakinan pemain dan pegawai pasukan yang akan berlepas ke UAE lebih awal bagi menghadapi dua aksi persahabatan menentang Kuwait (23 Mei) sebelum menentang pasukan kebangsaan Bahrain pada 28 Mei.

“Kesihatan barisan pemain kini terjamin. Mereka dapat pergi dengan hati yang tenang dan tanpa kerunsingan atau risau mereka akan dijangkiti. Pada kita (pasukan kebangsaan) ia amat penting untuk mendapatkan vaksin Covid-19 sebelum berangkat ke UAE,” katanya.

Sebelum ini, dikhabarkan tiada jaminan diberikan kepada skuad Harimau Malaya untuk menerima vaksin Covid-19 sebelum berlepas ke UAE, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain dan barisan kejurulatih pasukan.