Ibrahimovic berdepan penggantungan 3 tahun?

LONDON: Zlatan Ibrahimovic berada dalam bahaya digantung tiga tahun daripada bola sepak, hukuman yang mungkin memaksanya bersara lebih awal.

Penyerang Sweden dan AC Milan itu berdepan masalah besar apabila melabur dalam syarikat pertaruhan berpangkalan di Malta, menurut laporan akhbar Sweden, Aftonbladet.



Ibrahimovic yang genap 40 tahun pada 3 Oktober ini, memiliki 10 peratus saham dalam Bethard, sebuah syarikat perjudian di Malta menerusi Unknown AB.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan badan bola sepak Eropah, UEFA tidak membenarkan pemain menyertai pertaruhan atau memiliki kepentingan kewangan dalam mana-mana syarikat perjudian.

Akhbar Britain, The Sun mendakwa etika FIFA menyatakan sesiapa yang melanggar peraturan akan didenda dan berdepan larangan daripada semua aktiviti berkaitan dengan bola sepak dengan hukuman maksimum tiga tahun.

Laporan asal juga memperincikan bahawa Persatuan Bola Sepak Sweden (SvFF) telah mengetahui masalah ini sejak tiga tahun dan itulah sebabnya mengapa penyerang bertaraf dunia tersebut tidak dipanggil pada Piala Dunia 2018.





Ibrahimovic bersara daripada bola sepak antarabangsa pada 2016 sebelum membuat kejutan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan Sweden pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022, bulan lalu.

Walaupun semakin meningkat usia, dia pencetak gol yang sangat berkesan. Dalam 25 penampilan untuk AC Milan musim ini, Ibrahimovic telah meledak 17 gol.

Ibrahimovic diumumkan sebagai duta dan pemilik bersama Bethard buat kali pertama pada 2018.

“Saya jelas telah digoda secara intensif oleh syarikat pertaruhan sepanjang karier saya, tetapi sampai sekarang saya belum diberi perhatian kepada apa pun yang datang menggoda.





“Dengan Bethard, ada sesuatu yang berbeza. Ia syarikat yang mempunyai akar umbi Sweden, pengasasnya berasal dari kampung halaman saya dan mereka pencabar sejati yang benar-benar ingin melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza,” kata Ibrahimovic ketika itu.

Sementara itu, setiausaha agung SvFFm Hakan Sjjstrand awal minggu ini menegaskan, dia enggan membuat spekulasi mengenai sekatan yang mungkin dikenakan terhadap Ibrahimovic.

“Bagaimanapun sudah tentu ada beberapa perkara yang kabur dalam peraturan FIFA dan ia ditafsir dengan cara berbeza,” ujarnya.

Ibrahimovic masih berharap untuk beraksi dalam Kejohanan Eropah (Euro) 2020 yang bermula 11 Jun.