Diniz risiko ke penjara

Kuala Lumpur: “Kalau saya tak bayar yuran sekolah anak saya, dia akan dihadapkan ke mahkamah di Jerman dalam masa terdekat dan risiko boleh dipenjara, takkan boleh balik (ke Malaysia) begitu saja. Malah, karier dan impian dia untuk bergelar pemain profesional di sana juga akan musnah. Saya rayu bantulah anak saya”

Itu rintihan bapa Muhammad Diniz Irwan iaitu Irwan Adnan yang berharap anak sulungnya dapat meneruskan pembelajaran di European School RheinMain, Frankfurt, Jerman bagi membolehkan Diniz terus beraksi dengan kelabnya, Eddersheim FC.


Menurut Irwan, sejak anaknya itu terpilih menyertai Eddersheim FC yang beraksi di saingan divisyen lima Jerman itu, banyak peningkatan ditunjukkan Diniz apabila kini sudah berjaya mengetuk pintu skuad kedua dan berpeluang menembusi pasukan utama tidak lama lagi.

Namun, masalah tunggakan yuran pembelajaran di sebuah sekolah separuh kerajaan di sana kemungkinan menyebabkan Diniz bakal dihadapkan ke mahkamah, ketika dia hanya tinggal setahun lebih untuk menamatkan pengajian sekali gus menerima sijil setaraf diploma.

Jelasnya, tunggakan sejumlah €33,000 Euro atau RM163,000 diperlukan untuk melunaskan yuran yang mula tertunggak sejak Oktober tahun lalu serta bayaran hingga tamat pengajian tahun depan.

Menurutnya, pelbagai cara sudah diusahakan untuk menjelaskan tunggakan itu namun jalan terakhir mengeluarkan wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak berjaya apabila ditolak oleh pihak terbabit.

“Kedudukan anak saya sangat kritikal di Jerman ketika ini. Saya dah cuba pelbagai cara dan jalan terakhir mengeluarkan duit dari KWSP tapi tak berjaya. Pihak sekolah di sana mahu Diniz bayar tunggakan itu, kalau tidak mereka akan bawa isu itu kepada pihak mahkamah dan juga imigresen Jerman untuk sekat visa anak saya.




“Anak saya pula ketika ini hanya tinggal setahun lebih saja menamatkan pengajiannya dan dia juga akan beraksi di open league (Liga Profesional) mulai tahun depan. Sebagai bapa saya yakin anak saya boleh berjaya di sana sebagai pemain bola sepak dan itu memang cita-citanya untuk bermain di sana.

“Saya mahu dia kejar impiannya dan bawa sesuatu untuk Malaysia bila berjaya nanti. Saya harap ada pihak yang dapat membantu anak saya. Duit itu tak payah masuk akaun saya, boleh terus ja masuk ke akaun sekolahnya di sana supaya Diniz dapat belajar dan main bola di sana,” kata Irwan.

Diniz menyertai Eddersheim FC pada Mac tahun lalu dan ia dianggap peluang keemasan buatnya membuka langkah di Eropah.

Ujar Irwan lagi, anaknya sudah merekodkan lima gol bersama skuad ketiga Eddersheim FC sebelum dinaikkan pangkat ke pasukan kedua pertengahan tahun lalu dan dia tidak menunggu lama apabila meledak beberapa gol lagi buat skuad kedua itu.

“Jurulatihnya beritahu saya Diniz memiliki potensi besar untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi. Malah, berdasarkan nasihat dan pandangan jurulatih di sana, Diniz mempunyai keistimewaan dan kebolehan setanding dengan pemain luar negara,” katanya.




Sementara itu Bakri Ibni yang berharap Ustaz Ebit Lew dapat membantu Diniz yang kini berdepan tindakan undang-undang di Jerman ekoran kegagalan membayar tunggakan yuran persekolahannya di sana.

“Kalau payah sangat pentadbir sukan di Malaysia nak bantu Diniz Irwan, saya mohon pihak korporat atau pendakwah, Ustaz Ebit Lew bantu pemain muda negara kita” ujarnya.

Bakri antara individu terawal yang mengesan bakat Diniz ketika berada di Akademi Bola Sepak Tunas Legenda dari 2012-2016 lalu dan mengakui pemain berusia 20 tahun itu mempunyai bakat semula jadi yang terbaik.

Katanya, kemampuannya terbukti apabila mewakili salah sebuah akademi bola sepak negara seperti Frenz United sebelum menerima tawaran daripada skuad pembangunan Johor Darul Ta’zim (JDT).