Setuju sertai Liga Super Eropah, Gergasi EPL diberi amaran

London: Kelab ‘Big Six’ Liga Perdana Inggeris (EPL) diberi amaran mereka mungkin digantung daripada saingan bola sepak kerana bersetuju untuk menyertai Liga Super Eropah (ELS).

Ketua Liga Perdana meragui tindakan dua kelab Manchester, Liverpool, Chelsea, Arsenal dan Tottenham yang menyatakan persetujuan dengan perancangan menyertai liga berasingan itu yang disahkan semalam.

Perdana Menteri, Boris Johnson menyelar tindakan itu, yang menimbulkan krisis besar yang dihadapi bola sepak pada abad ini selepas pandemik Covid-19 ketika FA dan Uefa merancang mengambil tindakan undang-undang.

Johnson menegaskan dia akan memastikan liga baharu tidak akan diteruskan ketika isu berkenaan dipaparkan secara meluas menerusi media Eropah.




Anggota jawatankuasa UEFA berkata pasukan separuh akhir Chelsea, Manchester City dan Real Madrid mungkin boleh disingkirkan daripada Liga Juara-Juara musim ini.

Ketua FA Denmark, Jesper Moller berkata kepada stesen penyiaran DR: “Kelab itu harus pergi, dan saya harap ia akan berlaku pada Jumaat. Kemudian kita harus mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk menamatkan (musim ini) kejohanan Liga Juara-Juara.

“Akan ada mesyuarat eksekutif luar biasa pada Jumaat.”

Gergasi Sepanyol, Real, Barcelona dan Atletico Madrid termasuk trio Itali, Juventus, Inter Milan dan AC Milan antara dilaporkan turut melengkapkan penubuhan itu.

Bagaimanapu dua seteru ketat saingan Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund dan Bayern Munich sepakat mengumumkan menolak cadangan penubuhan Liga Super Eropah (ESL).

Sementara itu Presiden Real Madrid, Florentino Perez berkata kelab berkenaan tidak akan disingkirkan daripada Liga Juara-Juara kerana menyertai cadangan penganjuran Liga Super Eropah (ESL).





Kelmarin enam kelab Liga Perdana Ingeris (EPL) – Liverpool, Manchester United, Arsenal, Chelsea, Manchester City dan Tottenham Hotspur – menyertai Real, Barcelona dan Atletico Madrid serta tiga kelab Itali, Juventus, Inter Milan dan AC Milan melancarkan kejohanan yang sudah dirancang itu.

Mereka mengambil keputusan keluar daripada Liga Juara-Juara yang tidak mendapat persetujuan UEFA dan memulakan kejohanan baharu ‘secepat mungkin’ dengan perancangan tiga lagi pasukan akan menyertainya dan lima dijemput secara tahunan.

Perez mendakwa Paris Saint-Germain (PSG) tidak dijemput.

UEFA berkata pasukan yang terbabit dalam kejohanan itu tidak dibenarkan bersaing dalam kejohanan selepas ini ketika kelab Perez iaitu Real selain City mara ke kelompok empat terakhir Liga Juara-Juara musim ini.

“Ada ancaman daripada seseorang yang keliru antara monopoli dengan pemilikan,” kata Perez yang dinamakan Presiden ESL kepada program televisyen El Chiringuito.

“Real tidak akan ditendang daripada Liga Juara-Juara, pasti tidak. Sama seperti City, tiada siapa akan disingkirkan.”




Tambahnya: “Ia tidak akan berlaku. Saya tidak mahu babitkan alasan perundangan tetapi ia tidak akan berlaku. Ia mustahil.” Badan induk bola sepak Eropah itu juga berkata pemain boleh diharamkan mewakili negara mereka.

“Mana-mana pemain boleh bertenang kerana ia tidak akan berlaku,” kata Perez. “UEFA ialah monopoli dan mereka juga perlu telus. UEFA tidak memiliki imej yang baik dalam sejarahnya. Mereka mesti terbuka untuk berdialog dan bukannya mengancam,” katanya.

Sebelum itu Perez mendakwa langkah berkenaan dibuat untuk menyelamatkan sukan berkenaan.

“Bola sepak perlu terus berubah dan menyesuaikan diri mengikut masa. Bola sepak semakin hilang peminat. Sesuatu perlu dilakukan,” kata Perez.- AFP