McGregor rancang beli Man United

Paris: Conor McGregor memberi bayangan mahu membeli Manchester United susulan pengumuman Ed Woodward untuk meletak jawatan.

Malah dia turut berkongsi nilai saham Red Devils yang merudum berikutan isu Liga Super Eropah (ESL).


Khidmat Woodward selama 16 tahun bersama Man United berada di penghujungnya selepas kelab Inggeris itu antara 12 pasukan elit yang menyatakan persetujuan untuk menyertai penganjuran liga berasingan ESL kelmarin sebelum mengumumkan penarikan diri hari ini.

Dipercayai keputusan Woodward didorong oleh dakwaan yang dikatakan dia antara individu utama yang terbabit dalam pembentukan liga berasingan ESL yang diwujudkan dengan tujuan mengaut keuntungan tinggi yang mendapat bantahan banyak pihak itu.




Terdapat juga laporan menyatakan pemilik kelab itu, Glazers harus mengikut jejak langkah sama.

McGregor yang juga bintang UFC, bertindak memuat naik kenyataan berani di Twitter dengan bertanya kepada peminat adakah dia patut mengambil langkah menyelamatkan Red Devils.





Atlet Seni Bela Diri Campuran (MMA) dari Ireland mencatat: “Hi semua, saya memikirkan untuk membeli Manchester United! Apa pandangan anda?”

Tweet nakal McGregor itu hadir selepas wartawan Sky Sports, Bryan Swanson mendedahkan harga saham United menurut secara mendadak.