Pemain kebangsaan yang berpangkalan di luar negara tetap dibawa ke UAE

PETALING JAYA: Pemain skuad Harimau Malaya yang berpangkalan di luar negara tetap akan dibawa bersama ke saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) walaupun belum menerima vaksin.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam ketika mengesahkannya berkata pihaknya masih berhubung dengan persatuan bola sepak negara berkaitan untuk mengetahui situasi semasa proses vaksinasi.


Katanya, badan induk itu juga tidak berdepan masalah jika kos vaksin perlu ditanggung oleh FAM bagi memastikan keselamatan semua pihak lebih terjamin ketika berada di UAE.





“Pemain kita dikira sebagai orang asing di negara terbabit dan mungkin kerajaan mereka mahu beri keutamaan kepada rakyat mereka dahulu. Vaksin bukan kriteria utama untuk pemain bola namun pelaksanaan gelembung sukan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat adalah penting.

“Pada masa sama, kita juga tiada masalah membayar bagi dapatkan vaksin itu. Namun sekarang ini masalahnya adalah mengenai bekalan,” katanya ketika ditemui di Kelana Jaya, di sini, semalam.





Antara pemain skuad kebangsaan yang berada di luar negara ketika ini Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk), Liridon Krasniqi (Newcastle Jets), Dominic Tan (Police Tero) dan Junior Eldstal (Chonburi FC).

Sementara itu, lima pemain iaitu Brendan Gan, Shahrel Fikri Md Fauzi, Syahmi Safari, Khairulazhan Mohd Khalid dan S Kumaahran – yang tidak mendapat suntikan pertama pada Isnin lalu selesai menerimanya semalam.