Nafuzi anggap rezeki, Mora label TFC tiada semangat kesukanan

JOHOR BAHRU: “Tiada resepi khas untuk tewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebaliknya tuah dan rezeki memihak kepada kami.”

Itu dikatakan pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain selepas skuad bimbingannya meleburkan rekod tanpa kalah JDT apabila menang 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Katanya, persiapan dilakukan untuk menentang skuad kendalian Benjamin Mora sama seperti dilakukan berdepan pasukan lain, mungkin nasib menyebelahi TFC membawa pulang tiga mata penting sebaik tamat perlawanan.




“Bagi saya tiada guna untuk bersungguh-sungguh nak tewaskan JDT tapi dengan pasukan lain kami gagal capai kemenangan. Apa yang nak saya katakan rezeki memihak kepada kami malah pemain bermain dengan disiplin yang tinggi.

“Apa yang saya lihat motivasi pemain apabila berdepan JDT secara automatik tampak bersedia dan memberi persaingan baik dan itu yang saya mahu, bukan sahaja berdepan JDT tapi dengan pasukan lain juga pemain harus ada semangat begitu.

Sementara itu walaupun pasrah dengan kekalahan 0-1 di tangan Terengganu FC (TFC), pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tidak berpuas hati dengan corak permainan anak didik Nafuzi Zain yang tidak memiliki semangat kesukanan apabila kerap melambatkan permainan.




Apa diperkatakan pengendali kelahiran Mexico itu bukan alasan semata-matanya, sebaliknya tindakan pemain skuad Penyu yang kerap menjatuhkan badan dengan alasan mengalami kecederaan menjejaskan aksi pada tahap tinggi dan ia berlaku selepas TFC mendahului JDT 1-0.

“Pasukan lawan akan guna apa sahaja cara untuk menghilangkan momentum permainan JDT apabila sering melambatkan permainan dengan membazirkan masa. Pemain lawan mula rebah dengan alasan mengalami kecederaan, bagi saya itu semua tiada semangat kesukanan.

“Mereka tahu sukar tewaskan JDT dan sebaik mendahului kami dan kesempatan itu diguna sepenuhnya untuk menganggu momentum permainan yang kami rancang dan ia merupakan strategi mereka. Cara itu bagi saya menjejaskan keindahan permainan bola sepak yang sepatutnya dimainkan dengan secara lebih taktikal.




“Ke mana hilangnya semangat kesukanan. Bukan sahaja beraksi dengan kesemua pemain berkampung di kawasan sendiri dan saya akui corak digunakan TFC menyukarkan kami mencipta jaringan tapi rasionalnya biarlah bermain bola sepak dengan permainan terbuka dan bukan jatuhkan badan dan lewatkan permainan,” katanya.