Misi padam peristiwa hitam dibelasah 10-0

Kuala Lumpur: Adakah kekalahan besar 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di tempat lawan pada 2015 akan terus menghantui skuad Harimau Malaya Jun ini?

Itu persoalan yang timbul menjelang aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan UAE pada 3 Jun ini.



Peristiwa hitam itu sehingga kini masih tercatat sebagai kekalahan paling memalukan buat pasukan negara di pentas antarabangsa.

Pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, sudah tiba masanya buat skuad kendaliannya membalas kekalahan itu dengan meraih keputusan positif sekali gus menamatkan sumpahan 2015 itu.

Katanya, pemain negara perlu membuang rasa ketakutan dan berfikir secara positif apabila turun menentang UAE yang kini menduduki tangga ke-73 ranking dunia itu.





“Sebagai jurulatih saya tak nak ambik itu sebagai rasa ketakutan kerana itu dah jadi satu sejarah. Kita tak boleh berfikir negatif di mana skuad kali ini sudah pastinya berbeza, begitu juga UAE.

“Apa yang penting pemain kena fikir positif dan jangan fikir sejarah yang lalu itu, kita buka buku baharu apabila menentang mereka nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pada 2015 lalu, skuad Harimau Malaya bimbingan Dollah Salleh tewas 0-10 kepada UAE di Stadium Mohamed Zayed, Abu Dhabi dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2018 dan ia satu kekalahan terbesar dalam sejarah pasukan kebangsaan.

Dollah kemudiannya mengumumkan peletakan jawatannya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Dubai, sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan itu.




Mengulas persediaan pasukan, Cheng Hoe mengakui sudah memiliki ramuan tersendiri untuk memerangkap tuan rumah di sana nanti.

“Aksi pertama dengan UAE di Bukit Jalil (2019) dulu, kita kalah 1-2 saja. Perlawanan itu kita bermain dengan baik, kita berjaya cipta banyak peluang.

“Mereka ada pemain yang berbahaya nombor 7 (Ali Mabkhout) yang jadi duri dalam daging. Saya harap pemain kali ini lebih fokus dan bersedia untuk sekat pemain itu ataupun pemain lain. Kita bukan saja kena bertahan, tapi serangan pun kena efektif kerana peluang bukan datang selalu,” katanya.