Hasrat Korea Utara sukarkan misi Harimau Malaysia

Kuala Lumpur: Hasrat Korea Utara untuk menarik diri daripada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bakal mengubah nasib skuad Harimau Malaya dalam usaha melayakkan diri secara merit ke Piala Asia dan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia itu.




Ia disebabkan tindakan menarik diri oleh Korea Utara bakal membawa kesan buruk kepada semua pasukan yang bertanding termasuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe di mana kemungkinan keputusan aksi menentang pasukan tercorot dalam semua kumpulan tidak akan dikira.

Ini bermakna, dua kemenangan Malaysia ke atas Indonesia dalam Kumpulan G sebelum ini tidak akan diambil kira sekali gus menyaksikan pasukan negara hanya meraih tiga mata selepas turut menewaskan Thailand sebelum ini.

Jika situasi itu diambil kira, anak buah Cheng Hoe tiada pilihan lain apabila wajib mencari kemenangan dalam baki tiga aksi kempen kelayakan di Dubai pada Jun ini dengan menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Vietnam.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya masih belum menerima pengesahan rasmi daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengenai hasrat Korea Utara itu.





Bagaimanapun, beliau mengakui ada mendengar maklumat mengenainya, namun ia tetap tidak akan menganggu persiapan skuad Harimau Malaya yang berazam untuk mencipta kejutan di Dubai kelak.

“Pada masa ini saya rasa kita semua tahu jikalau Korea Utara menarik diri, ia akan memberi impak negatif sedikit kepada pasukan kebangsaan di mana ketiga-tiga perlawanan (aksi membabitkan Malaysia) menjadi lebih penting.

“Pasukan kebangsaan memang turun ke padang untuk cuba memenangi semua perlawanan, jadi ia tidak akan mengubah semangat dalam pasukan…sasaran kepada pasukan itu. Saya rasa persediaan pasukan kebangsaan ialah untuk buat terbaik di UAE,” katanya.





Katanya, FAM masih menunggu status terkini mengenai Korea Utara dan berharap AFC dapat memuktamadkannya termasuk soal pengiraan slot ke pusingan berikutnya.

“Secara rasmi saya belum menerima apa-apa makumat mengenai perkara ini, tetapi saya dah membaca di sini dan di sana mengenai Korea Utara menarik diri daripada kelayakan Piala Dunia ini.

“Saya rasa lebih patut untuk AFC membuat keputusan terakhir mengenai kedudukan Korea Utara, pengiraan slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia atau kelayakan Piala Asia,” katanya.

Ketika ini Malaysia berada di tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata, dan berpeluang untuk mara lebih jauh dalam kempen ini jika berjaya meraih sekurang-kurangnya tujuh mata minimum namun dengan perkembangan terbaru ini, pasukan negara harus memenangi semua aksi untuk mengumpul sembilan mata.