Hafizul Hakim saman seorang penyokong RM5 juta

PENJAGA gol utama Perak FC, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengemukakan tuntutan saman RM5 juta ke atas seorang penyokong kerana mengaitkan dirinya dengan insiden kibaran bendera Perak separuh tiang sepertimana tular di media sosial.

Sambil menafikan penglibatan pemain lain, beliau berkata, tuduhan yang dibuat itu adalah berat lebih-lebih lagi senario terbabit sering kali membawa maksud kemangkatan dan berkabung.



Melalui satu komen di media sosial, seorang penyokong yang dikenali sebagai Mohamad Rizuwan menyatakan Hafizul sebagai ketua mengerakkan usaha turunkan bendera separuh tiang yang membawa maksud kemangkatan dan berkabung.

Hafizul yang berang dengan tuduhan itu mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas individu tersebut dalam masa terdekat.





“Kebetulan saya menerima WhatsApp daripada rakan memaklumkan ada individu ini petik nama saya bahawa sayalah punca dan ketua yang membuatkan bendera itu turun separuh.

Difahamkan Hafizul telah pun membuat dua laporan penafian serta laporan di Balai Polis Sungai Senam dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.





“Secara terus terang saya tidak mengenali individu itu, tetapi dia salah seorang penyokong dan saya tahu dia antara orang yang paling aktif maki saya dalam media sosial.

“Saya boleh terima orang tak suka dengan saya, tetapi jangan sampai buat tuduhan melulu sebegitu, ia tuduhan yang terlalu berat buat saya,” tegas Hafizul.