Cheng Hoe pertahan pemilihan Syafiq, Akhyar

KUALA LUMPUR: “Kenapa pemain ini dapat panggilan walaupun kurang minit, kenapa pemain ini banyak beraksi dan jaringkan gol tetapi tidak dipanggil?”


Itu antara persoalan yang diutarakan penyokong bola sepak tempatan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 25 pemain yang akan dipanggil untuk persediaan menghadapi baki Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.

Pemain khususnya seperti Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid menjadi ‘sasaran’ selepas ada segelintir penyokong yang seakan berpendapat mereka tidak ‘layak’ dipanggil memandangkan kurang minit beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Justeru, ketika diminta mengulas mengenai situasi ini, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menegaskan senarai 25 pemain itu sudah diteliti dan dipantau sepenuhnya sekali gus menjadikan ia senarai terbaik untuk dibawa ke UAE.





Malah, dia juga tidak mempunyai banyak masa untuk menguji pemain baharu ataupun melakukan eksperimen sekali gus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pemain yang dipanggil untuk menggalas tanggungjawab bagi misi penting itu.

“Semua orang ada pandangan masing-masing, jadi sebagai jurulatih, kami sudah biasa dengan situasi itu. Tetapi saya pun tidak mahu membuat perbandingan kerana bagi saya, ini adalah pemain yang menepati beberapa kriteria ditetapkan.

“Bukan saya mahu katakan aksi Liga M tidak baik tetapi seperti mana yang kita tahu, aksi domestik dan aksi antarabangsa sememangnya jauh berbeza. Syafiq dan Akhyar ada sedikit kelebihan daripada segi pengalaman antarabangsa kerana mereka pun sudah lama dengan skuad kebangsaan.





“Setiap jurulatih pun pasti mahukan keputusan yang positif. Jadi pada saya, ini adalah senarai pemain terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, Cheng Hoe menjelaskan perkembangan itu tidak bermakna ‘pintu’ ke skuad kebangsaan tertutup sepenuhnya kepada pemain yang tidak dipanggil kerana baginya, peluang sentiasa terbuka.

“Sebenarnya kita bukan hanya senaraikan 25 pemain sahaja tetapi lebih lagi. Kalau ada pemain yang tidak menyerlah, kita boleh gantikan dengan pemain yang sudah berada dalam senarai,” katanya.