Petanda Ronaldo akan tinggalkan Juventus

Turin: Cristiano Ronaldo menghangatkan lagi spekulasi dia akan meninggalkan Juventus apabila beberapa kereta mewahnya bernilai £17 juta (RM99 juta) dibawa keluar oleh sebuah treler.

Bekas bintang Manchester United itu menyertai gergasi Itali pada 2018 dan masih lagi berbaki setahun kontrak dengan gaji £540,000 (RM3.154 juta) seminggu tetapi dia kini keseorangan di bilik persalinan.




Ronaldo, 36, yang dikaitkan dengan kepulangan ke kelab pertamanya, Sporting Lisbon dilaporkan tidak dipedulikan rakan sepasukan yang bosan dengan layanan istimewa diberikan kepadanya oleh pengurusan kelab.

Minggu lalu, keseluruhan skuad diarahkan menjalani latihan tambahan sehari namun bintang Portugal itu dibawa oleh pengarah kelab mengikuti lawatan ke ibu pejabat Ferrari di Maranello berdekatan Bologna.





Terkini video koleksi kereta mewahnya seperti Bugatti, jeep Mercedes dan Maseratti dinaikkan ke atas treler oleh sekumpulan mekanik daripada syarikat berpangkalan di Lisbon.

‘Operasi’ pada waktu malam itu dimuatnaik di laman web bola sepak Itali, Per Sempre Calcio dan dirakam daripada balkoni berhadapan garaj kereta terbabit di Turin.

Syarikat Rodo Cargo berpangkalan di Lisbon yang terbabit dengan pemindahan kereta Ronaldo turut menjadi pilihan pemain bola sepak seluruh dunia untuk memindahkan kereta mewah mereka.





Jiran Ronaldo bernama Luciano Saroglia menjelaskan situasi itu dalam rancangan talk show bola sepak di Radio Punto Nuovo.

Katanya: ”Tiga tahun lalu Ronaldo tiba di sini bersama dua treler yang menurunkan kereta mewahnya ke garaj dan semalam sekitar jam 11.30 malam saya lihat treler yang sama membawa pergi keretanya”

Katanya lagi: “Terdapat beberapa lelaki di situ dan saya ternampak Ronaldo mengawasi kerja-kerja menaikkan keretanya. Saya dapat dengar dia berkata kepada pemandu lori dalam bahasa Portugis jadi saya tidak memahaminya.

“Ronaldo seorang jiran yang ideal, tiada parti, tidak bising dan tiada sebab untuk kami merungut dengannya. Yang pasti, sejak kedatangannya polis peronda lebih kerap mengawasi kawasan kejiranan di sini tetapi saya yakin ia akan berubah selepas ketiadaannya.”