Pasukan terbaik Harimau Malaya – Safawi

KUALA LUMPUR: Sekalipun sekadar bertaraf aksi persahabatan, pertembungan menentang Kuwait malam esok seharusnya tidak dipandang ringan oleh skuad kebangsaan dan memerlukan sepenuh komitmen daripada semua pemain.

Penyerang kebangsaan, Safawi Rasid menegaskan ini kerana aksi terbabit cukup penting bagi membantu misi negara yang menyasarkan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022 sekali gus mara automatik ke Piala Asia 2023.


“Ini adalah aksi pemanas badan, jadi kalau boleh, pemain perlu cepat serasi antara satu sama lain kerana ini sangat penting untuk kita. Dari segi taktikal, kita perlu cepat serasi untuk membentuk kombinasi yang terbaik.

“Saya lihat ini pasukan yang terbaik untuk pusingan kelayakan. Jadi, saya harap semua pemain dapat memberikan sesuatu untuk membantu pasukan,” katanya.




Sebagai rekod, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe akan mengharungi dua aksi persahabatan dengan bertemu Kuwait malam ini dan Bahrain pada 29 Mei sebelum memulakan kempen kelayakan bertemu tuan rumah, UAE, Vietnam dan Thailand.

Sementara itu, Safawi mendedahkan skuad kebangsaan berjaya mengelak daripada ‘dipanggang’ dengan suhu yang mampu mencecah 41 darjah Celcius di Dubai memandangkan mereka menjalani sesi latihan pada sebelah malam.




Justeru, Safawi berkata, tidak timbul sebarang masalah untuk menjalani latihan di negara itu sebagai persiapan untuk mengharungi baki pusingan kelayakan yang akan berlangsung, bulan depan.

“Kita menjalani latihan pada sebelah malam jadi kita tidak rasa seperti siang kerana cuaca pada sebelah siang terlampau panas. Jadi, tidak ada masalah untuk semua pemain dalam perkara ini.

“Cuma pemain perlu segera menyesuaikan diri dengan perubahan ini tetapi tidak menjadi isu kerana kita ada masa yang mencukupi sebelum bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti,” katanya.