Cheng Hoe sudah ada bayangan kesebelasan utama

KUALA LUMPUR: Barisan kesebelasan utama terbaik tampak sudah ‘dikunci’ dalam fikiran pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe sejurus selesai aksi persahabatan menentang Kuwait di Stadium 7He Sevens yang berakhir dengan kekalahan 4-1 buat skuad negara.

Ini selepas Cheng Hoe melihat pemain yang diturunkan gagal menunjukkan aksi yang seimbang pada babak pertama dan babak kedua di mana mereka dapat bersaing pada 45 minit pertama sebelum ‘tenggelam’ pada separuh masa kedua.


Kesebelasan pertama berjaya mengikat pasukan di ranking ke-148 dunia itu dengan keputusan 1-1 pada babak pertama namun selepas sembilan rombakan dilakukan untuk mengharungi baki 45 minit, mereka tumbang apabila dibolosi dengan tiga gol.

“Memang nampak jurang yang agak besar dengan perlawanan di separuh masa pertama dan separuh masa kedua. Dari situ kami sudah boleh tahu secara gambaran mengenai pemain yang dirasakan boleh menggalas tanggungjawab dalam kesebelasan utama.

“Sudah tentu kita masih ada lagi masa untuk memperbaiki keputusan dan kita perlu meningkatkan lagi kekuatan pasukan yang sebenarnya,” katanya mengulas perlawanan menentang Kuwait.





Dalam masa sama, Cheng Hoe juga mengakui belum lagi berpuas hati dengan cara permainan yang ditunjukkan anak buahnya di mana mereka belum berada pada tahap yang dirasakan terbaik.

“Kita tahu keputusan ini sedikit sebanyak menjejaskan moral pasukan dan saya rasa pemain juga kecewa dengan keputusan ini. Kita akan menganalisis kelemahan pasukan dan kita perlu perbaikinya pada aksi menentang Bahrain nanti.

‘Tiada lagi aksi latihan selepas Bahrain jadi pemain perlu bangkit. Kita mahukan pemain bermain secara sepasukan dan menunjukkan semangat,” katanya.




Pada aksi terbabit, pemain naturalisasi negara, Guilherme de Paula tidak menunggu lama untuk mencetus impak apabila berjaya membuka akaun gol pada penampilan pertama bersama skuad kebangsaan ketika menentang Kuwait, kelmarin.

Bagaimanapun, jaringan sulung pemain kelahiran Brazil itu tidak cukup untuk membantu skuad negara yang terpaksa tunduk 4-1 di tangan Kuwait pada aksi pemanas badan yang berlangsung secara tertutup itu.

Selepas ini, skuad kebangsaan akan mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan bertemu Bahrain pada 29 Mei sebelum mengharungi baki Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand.