Apa status Cools bersama Harimau Malaya?

KUALA LUMPUR: Ketika skuad kebangsaan sedang bersiap sedia untuk menghadapi aksi persahabatan berdepan Bahrain, timbul pula khabar angin bahawa pemain kacukan, Dion Cools bakal menyertai Harimau Malaya untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan depan.

Khabar angin itu kini sudah tersebar secara meluas di media sosial sejak malam tadi dengan ada yang mendakwa pemain berdarah campuran Belgium-Malaysia itu akan menyertai Harimau Malaya di Dubai, Isnin ini.



Spekulasi itu muncul selepas kelab yang diwakili Cools, FC Midtjlland didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pemain itu mendapat panggilan menyertai skuad Harimau Malaya untuk kempen kelayakan kali ini.

Bagaimanapun, kelab berkenaan kemudian didakwa memadam semula kenyataan itu, sekali gus menimbulkan persoalan adakah perkara itu benar atau berlaku kesilapan teknikal dalam kenyataan yang dikeluarkan.





Justeru, penyokong Harimau Malaya ketika ini masih ternanti-nanti kenyataan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai kesahihan berita itu.

Pengurus pasukan kebangsaan yang juga Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi ketika dihubungi BH Sukan menjelaskan bahawa beliau tidak mendapat apa-apa maklumat mengenai perkara itu.





Harimau Malaya akan bertemu tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum (11 Jun) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum (15 Jun).

Selepas lima perlawanan setakat ini, Vietnam menduduki tangga teratas Kumpulan G dengan 11 mata diikuti Malaysia (9), Thailand (8), UAE (6) dan Indonesia (0).