De Paula tak main lawan Bahrain

KUALA LUMPUR: Ketiadaan Guilherme De Paula pada aksi persahabatan berdepan Bahrain, tengah malam esok bakal membuka peluang buat beberapa penyerang Harimau Malaya yang lain memikat hati jurulatih, Tan Cheng Hoe.

De Paula tidak dapat diturunkan untuk aksi berdepan Bahrain kerana dia masih belum melengkapkan syarat mendapat status pemain naturalisasi iaitu beraksi selama lima tahun di Liga Malaysia (Liga M).



Pemain kelahiran Brazil itu bagaimanapun boleh beraksi untuk kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula dengan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), 4 Jun ini selepas melengkapkan syarat itu pada Isnin ini.

Justeru, penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad menyifatkan ketiadaan De Paula menjadi peluang terbaik untuk dia membuktikan kemampuannya kepada barisan kejurulatihan.

“Kita tahu De Paula adalah pemain yang bagus dalam liga, jadi inilah peluang untuk saya buktikan kemampuan. Saya akan buktikan apa yang pernah saya lakukan dan yang boleh saya lakukan untuk perlawanan akan datang.




“Apa yang jurulatih bagi peluang dan kepercayaan, saya akan terus lakukan apa yang pasukan perlukan di dalam padang,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.

Syafiq pernah melalui pengalaman pahit dalam hidupnya apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Disember tahun lalu yang mengorbankan bayi lelakinya, Muhammad Aisy Saqeef serta ibu mentuanya, Zainab Wahab dan pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti.

Mengakui berdepan satu tempoh yang sukar buat dirinya selepas kejadian itu, Syafiq bagaimanapun menjelaskan peristiwa berkenaan akan dilupakan seketika apabila berlatih memasuki padang.




“Pada mulanya memang satu tempoh yang sukar dan benda ini akan sentiasa ada dalam ingatan saya. Tapi bila saya sertai latihan, saya masuk padang, mungkin ketika itu saya lupakan segala masalah.

“Kita tak akan dapat lupakan apa yang sudah berlaku tapi saya banyak bercakap dengan orang yang lebih positif, jadi apa yang terjadi itu adalah takdir dan perjalanan hidup saya. Tapi buat masa sekarang adalah misi penting buat pasukan dan rakyat Malaysia,” katanya.