Keputusan FIFA tak sebelahi Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan mekanisma yang akan dilaksanakan dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 susulan penarikan diri pasukan Korea Utara.



Berdasarkan surat yang dikeluarkan badan induk bola sepak dunia itu, keputusan perlawanan pasukan Kumpulan H dengan Korea Utara sebelum ini tidak akan dikira atau dibatalkan.

Malah, seperti dilaporkan sebelum ini, keputusan perlawanan pasukan dalam kumpulan lain juga akan terjejas iaitu dalam menentukan pasukan di tangga kedua.

Ia kerana semua keputusan pasukan tempat kedua hingga keempat dalam kumpulan A hingga G dengan pasukan tercorot setiap kumpulan tidak akan dikira.





Kesan besar akan dirasai Malaysia yang berada di dalam Kumpulan G sekiranya Indonesia menamatkan saingan di kedudukan tercorot.

Ini kerana skuad Harimau Malaya meraih enam mata dalam dua perlawanan berdepan Indonesia sebelum ini yang menyaksikan anak didik Tan Cheng Hoe berada di kedudukan kedua dengan sembilan mata.

Bagaimanapun, Malaysia tetap masih berpeluang untuk layak secara automatik ke pusingan seterusnya kelayakan jika berjaya mendapat keputusan positif dalam baki tiga perlawanan dan bergelar juara kumpulan.




Ia kerana berdasarkan surat FIFA itu, juara kumpulan tidak akan terjejas dengan mekanisme yang ditetapkan dan akan layak secara automatik ke pusingan seterusnya.

Kuota pasukan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia adalah 12 dengan juara setiap kumpulan dalam pusingan kedua kelayakan akan mengisi lapan slot pertama, manakala empat lagi slot akan diisi empat pasukan naib juara terbaik.