Kesilapan individu ketika menentang Bahrain tidak disenangi Cheng Hoe

KUALA LUMPUR, 29 Mei — Ketua jurulatih bola sepak negara Tan Cheng Hoe jelas tidak menyenangi kesilapan individu yang dilakukan anak buahnya sekali gus menyaksikan Harimau Malaya tumpas 0-2 kepada Bahrain pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bahrain, Riffa semalam.

Cheng Hoe berkata kedua-dua gol Bahrain yang berpunca daripada kesilapan sendiri pemainnya merencatkan momentum skuad kebangsaan dalam perlawanan itu, menyebabkan Malaysia gagal mencatat kemenangan dalam dua aksi terakhir mereka.




Beliau berkata moral pasukan turut terjejas apabila peluang jaringan yang dicipta pada perlawanan itu gagal disempurnakan terutama pada separuh masa pertama permainan.

Beliau berkata moral pasukan turut terjejas apabila peluang jaringan yang dicipta pada perlawanan itu gagal disempurnakan terutama pada separuh masa pertama permainan.

“…itulah sedikit sebanyak yang menjejaskan keyakinan pasukan dan gol-gol seperti sepakan penalti dan kesilapan individu (yang lain) menyebabkan perjalanan kita dalam perlawanan agak terganggu,” katanya menerusi video di laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Kesilapan pemain pertahanan Muhammad Irfan Zakaria yang memeluk sebelum menjatuhkan Mahdi Abduljabbar dalam kotak penalti membawa padah dan memberi peluang kepada penyerang Manama Club itu untuk meletakkan Bahrain 1-0 di hadapan pada minit ke-41.




Kealpaan penjaga gol Mohd Farizal Marlias yang gagal menampan bola dengan kemas dalam kawasan berbahaya turut dimanfaatkan Bahrain untuk meledak gol kedua menerusi pemain gantian Mohd Jassim Marhoon pada minit ke-61.

Ia kekalahan kedua Malaysia selepas tewas 1-4 kepada Kuwait dalam aksi pemanas badan di Stadium The Seven, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sabtu lepas menjelang pertembungan berdepan UAE dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai Jumaat ini.

Cheng Hoe berkata pasukan negara perlu memberi perhatian kepada aspek serangan balas yang mampu dijelmakan pihak lawan selepas melihat anak buahnya gagal mengawal tempo permainan dalam situasi itu ketika perlawanan menentang Bahrain.

“Saya harap kita boleh lebih bersedia untuk menentang UAE tetapi kita kena bekerja keras bermain sebagai satu pasukan, kita perlu fokus setiap masa dan setiap saat. Saya yakin pemain sudah tahu dan sedar kelemahan setiap individu dan kita akan memperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.




Beliau turut menyifatkan keberkesanan dalam membuat serangan sehingga menghasilkan beberapa peluang keemasan menjaringkan gol selain keupayaan bertahan sebagai satu unit antara perkara positif yang dilihat dalam pasukannya berbanding aksi menentang Kuwait.

Pengendali berusia 52 tahun itu juga meminta setiap pemain mengawal emosi dalam apa jua situasi pada setiap perlawanan bagi mengelak daripada kehilangan fokus yang mampu menjejaskan permainan atau lebih teruk boleh diperintah meninggalkan padang.

Selepas berdepan UAE, Malaysia akan menentang Vietnam pada 11 Jun sebelum menutup saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung di Dubai apabila bertemu Thailand pada 15 Jun.