Safawi boleh beraksi menentang UAE

KUALA LUMPUR: Adakah penyerang kebangsaan, Safawi Rasid akan berdepan penggantungan sekali gus tidak dapat diturunkan pada aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), minggu depan?

Ini selepas pemain itu dilayangkan kad kuning kedua yang membawa kepada layangan kad merah ketika aksi persahabatan bertemu Bahrain, malam tadi yang berakhir dengan kekalahan 2-0 buat skuad negara.



Situasi ini mencetuskan perdebatan sama ada Safawi akan digantung atas kad merah yang diterima itu ataupun tidak memandangkan dia menerima kad merah pada aksi persahabatan dan aksi seterusnya bertemu UAE adalah aksi kompetitif.

Namun berdasarkan semakan menerusi Kod Undang Undang FIFA, pemain berusia 24 tahun itu boleh diturunkan ketika bertemu UAE namun tidak dapat menyertai aksi persahabatan yang akan diharungi oleh skuad kebangsaan selepas ini.





Kesimpulan itu dibuat menerusi peruntukan dalam Artikel 38 dalam Kod Undang-Undang FIFA yang menyebut mengenai penggantungan perlawanan yang perlu dikenakan ke atas pemain selepas diarahkan meninggalkan padang.

Artikel 38 menyebut setiap penggantungan perlawanan bagi pemain ataupun mana mana individu akan dibawa daripada satu pusingan ke pusingan yang seterusnya dalam pertandingan yang sama.

Namun Artikel 38.2 menjelaskan terdapat beberapa jenis penggantungan kepada pemain di luar pertandingan ataupun tidak dapat dikuatkuasakan pada pertandingan yang disertai mereka kerana mereka disingkirkan ataupun itu perlawanan terakhir dalam pertandingan itu.




Melihat kepada Artikel 38.2 (g), penggantungan kerana kad merah pada aksi persahabatan akan dibawa kepada aksi persahabatan seterusnya yang akan dihadapi oleh negara pemain terbabit.

Berdasarkan peruntukan ini, skuad Harimau Malaya tampak tidak berdepan masalah untuk menagih khidmat Safawi bagi kempen kelayakan di Dubai itu.