Zidane dedah punca tinggalkan Real Madrid

MADRID: Zinedine Zidane mendedahkan dia meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid, baru-baru ini kerana berasakan kelab gergasi Sepanyol itu tidak lagi yakin terhadap dirinya.



Bekas pemain antarabangsa Perancis itu menyatakan demikian dalam satu surat terbuka, hari ini.

“Saya pergi (tinggalkan kelab) kerana saya merasakan kelab itu tidak lagi percaya kepada saya dan tidak menawarkan sokongan untuk saya membina sesuatu dalam jangka sederhana atau panjang,” tulisnya dalam surat yang diterbitkan dalam harian sukan, AS.




“Saya lahir sebagai juara dan saya berada di sini untuk memenangi piala. Namun, di luar terdapat manusia, emosi, kehidupan dan saya merasakan bahawa perkara ini tidak dihargai serta tidak memahami bagaimana dinamik kelab yang hebat dikekalkan.

“Tetapi semua saya bina setiap hari, apa yang saya berikan untuk hubungan dengan pemain …sudah dilupakan. Saya pergi, tetapi saya tidak melompat dari kapal dan saya tidak penat dengan bidang kejurulatihan.”





Real mengalami musim yang mengecewakan musim ini apabila menduduki tempat kedua di La Liga di belakang jiran mereka, Atletico Madrid dan tewas kepada Chelsea di separuh akhir Liga Juara-Juara.

Ini adalah kali pertama juara Eropah sebanyak 13 kali itu gagal memenangi sebarang trofi kejuaraan dalam tempoh 11 tahun. Ia juga buat kali kedua, Zidane meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid.- AFP