Aguero mahu perkasa Barca bersama Messi

Barcelona: Sergio Aguero berkata dia berharap dapat beraksi bersama Lionel Messi selepas mengikat kontrak dua tahun dengan Barcelona.

Aguero akan menjadi pemain Barca selepas kontraknya dengan Manchester City tamat penghujung bulan ini sekaligus menamatkan tempoh sedekad bersama juara Liga Perdana manakala pasukan baharunya pula menetapkan klausa pembelian 100 juta euro (RM504 juta) ke atas pemain berusia 32 tahun itu.



Bagaimanapun, dia tidak pasti Messi akan menjadi rakan sepasukannya musim depan selepas kapten kelab itu belum menandatangani penyambungan kontrak sedia ada yang bakal tamat bulan depan.

“Harapnya kami dapat beraksi bersama. Keputusan kini di tangan Leo,” kata Aguero kepada wartawan di Camp Nou selepas sesi perkenalan di padang terkenal itu.





“Sudah pasti saya gembira dan teruja nikmati aksi kami bersama. Jika dia kekal di sini yang saya rasa dia akan lakukan, kami akan berusaha yang terbaik untuk kelab seperti selalu dilakukannya.”

Barca berharap kehadiran Aguero di Catalonia dapat meyakinkan rakan senegaranya itu untuk terus kekal ketika mereka berdepan kemerosotan prestasi selain krisis kewangan.





Skuad Ronald Koeman menduduki tangga ketiga La Liga musim ini dan menanggung hutang 1.2 bilion euro (RM6.05 bilion).

Mereka disingkirkan Paris Saint-Germain dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara malah mungkin berdepan hukuman Uefa selepas enggan menarik diri daripada projek Liga Super Eropah.