Peminat gesa lucut kerakyatan De Paula

Kuala Lumpur: Pemain naturalisasi, Guilherme De Paula menjadi sasaran utama kecaman peminat bola sepak tempatan susulan kekalahan 0-4 Harimau Malaya di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal pagi tadi.



Rata-rata peminat menganggap pemain kelahiran Brazil itu tidak beraksi bersungguh-sungguh dalam aksi penting itu dan ada yang melabelnya sebagai ‘pemalas’ di atas padang.

Malah, berdasarkan komen di Facebook, ada netizen yang meminta kerakyatan De Paula dilucutkan selain ada yang mendesak jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menukar pemain itu dengan pemain lain yang lebih bersemangat tinggi.





Serangan peminat ke atas De Paula bermula sejak perlawanan dengan UAE masih belum berakhir sejak malam tadi yang menyaksikan dia gagal menyumbang impak yang diharapkan selaku penyerang ‘import’ Harimau Malaya.

Selain itu ada netizen yang dilaporkan sanggup menyunting gambar De Paula dan meletakkannya dalam status untuk dilelong dalam salah satu portal e-dagang terkemuka tempatan dengan harga RM2.76.

Ramai yang membandingkan aksi De Paula dengan Syafiq Ahmad yang dianggap bermain lebih agresif dan memiliki semangat lebih tinggi.





Pelayar Facebook yang menggunakan nama Hedy Cool menulis: “Satu pembaziran bagi mykad kat diaorag tu… Takde funtion (fungsi) langsung… Buat menyemak atas padang je…”

AbgAm Gurun pula menulis komen: “Import dgn tempatan sama level saja..baik tempatan yang main..ada semangat juang juga.. import lari pun malas dah mcm sawa telan kambing..” BH