Harimau Malaya perlu kekal positif – Cheng Hoe

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap agar skuad kendaliannya itu kekal positif bagi mengharungi baki dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 biarpun tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat.

Menurutnya, ketika ini pemain perlu melakukan analisis terhadap kekalahan berkenaan dalam usaha untuk bangkit melakar kejayaan ketika berdepan Vietnam pada 11 Jun.



Malah katanya, barisan jurulatih juga akan mencari formula terbaik selain memilih pemain terbaik untuk berdepan skuad Naga Emas itu nanti.

“Untuk aksi berdepan Vietnam kita akan pastikan pemain dapat membina semangat berpasukan dan seterusnya beraksi sebagai satu pasukan.

“Kita juga berharap dapat memberikan aksi yang lebih baik ketika berdepan Vietnam nanti dalam usaha mencatatkan kejayaan,” katanya pada Jumaat.

Kekalahan kepada UAE itu menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga keempat dengan sembilan mata selepas enam perlawanan manakala UAE melonjak ke tangga kedua dengan sembilan mata manakala Thailand yang terikat 2-2 ketika berdepan Indonesia berada tangga ketiga juga dengan sembilan mata.





Vietnam yang tidak beraksi pada Jumaat, terus menerajui Kumpulan G dengan 11 mata setakat ini.

Mengulas mengenai kekalahan 0-4 kepada UAE, Cheng Hoe berkata, kesebelasan pemain dilihat telah memberikan aksi terbaik, namun ia masih cukup baik bagi melakar kemenangan ke atas tuan rumah.

Katanya, kekalahan berkenaan turut menyempitkan lagi laluan skuad negara kerana bakal berdepan pendahulu kumpulan, Vietnam pada 11 Jun diikuti Thailand pada 15 Jun.





“Kita telah berikan aksi terbaik ketika berdepan UAE, tetapi ia masih belum cukup baik untuk kita melakar kemenangan ke atas mereka.

“Kita juga tidak bermain bola sepak dengan baik dan tidak bermain sebagai satu pasukan namun saya rasa pemain pun dah tahu baki dua perlawanan ini amat penting untuk pasukan dan tidak ada jalan lain untuk kita pergi jauh melainkan mencatatkan kemenangan,” katanya.

“Kita juga akan merangka taktikal dan strategi untuk menentang Vietnam. Walaupun ia bukan satu tugas mudah, tetapi kita tidak ada pilihan lain,” katanya.