Pengendali UAE puas benam Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bert Van Marwijk mengakui puas selepas pasukannya meraih kemenangan 4-0 ke atas Malaysia dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai semalam.


Pengendali kelahiran Belanda itu menjelaskan kesungguhan yang tinggi ditunjukkan anak buahnya membolehkan mereka mendapat tiga gol dalam 10 minit terakhir perlawanan.

“Saya sangat berpuas hati dengan kemenangan ke atas Malaysia. Saya meminta pemain bermain biasa kerana cuaca terlalu panas dan mereka mungkin memerlukan banyak tenaga.





“Kesungguhan menjadi kunci kepada UAE mencetak tiga gol pada babak kedua. Kami akan fokus mempersiapkan pasukan menghadapi tiga perlawanan seterusnya,” katanya.

Penyerang berbisa UAE, Ali Mabkhout dan Fabio Lima menjadi wira skuad itu apabila masing-masing meledak dua gol pada perlawanan itu.





Kemenangan itu menyaksikan UAE merampas kedudukan kedua Kumpulan G dari skuad Harimau Malaya dan berkongsi sembilan mata bersama Thailand dan Malaysia yang menghuni tangga ketiga dan keempat.

Vietnam pula kekal di kedudukan teratas kumpulan selepas mengumpul 11 mata dan Indonesia yang terikat 2-2 dengan Thailand di tangga tercorot hanya mengutip satu mata.