TMJ pertahan aksi De Paula, berhasrat sambar Cools

Kuala Lumpur: Semua pihak perlu realistik dan berpijak di bumi nyata susulan kekalahan 0-4 skuad Harimau Malaya di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, UAE yang dibimbing Bert Van Marwijk menduduki kedudukan ranking lebih tinggi berbanding skuad negara.



Ujarnya, beberapa kesilapan mudah pemain turut menyumbang kepada kekalahan terbabit dan ia harus diperbaiki segera.

“Tiada ‘game plan’ dan banyak sangat kesilapan individu. Di tambah UAE bukan lawan yang mudah.

“Jangan lupa ranking mereka 73 di dunia. Kita 153. Jadi kita kena realistik dan sedar,” katanya ketika menjawab soalan peminat di laman Story Instagramnya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan aksi penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula yang tidak bernasib baik.

“Semalam tak bagus (ketika aksi menentang UAE). Masa aksi persahabatan (lawan dengan Kuwait) dia jaringkan gol. Semua pemain ada hari yang baik dan tidak. “Mereka manusia biasa. Tetapi mereka harus bekerja keras dan meningkat. Perlu lebih konsisten,” katanya.





Terdahulu, peminat bola sepak tempatan mengkritik De Paula di atas aksi longlainya ketika menentang UAE, malah turut dilabel pemalas apabila lebih banyak berjalan sepanjang aksi itu.

Sementara itu Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui berhasrat untuk membawa masuk tonggak kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools bagi memperkuatkan skuad Harimau Selatan.

Katanya, Cools yang juga pemain pertahanan kelab Denmark, FC Midtjylland jelas berjaya memikat perhatiannya dan tahap permainan tonggak serba boleh itu berada pada kelas tersendiri.





Bagaimanapun, beliau menyerahkan segala-galanya kepada Cools untuk membuat keputusan, sambil akui masa depan pemain berusia 24 tahun itu cukup cerah di pentas Eropah.

“Peringkat yang berbeza. Pemain yang bagus. Perancangan untuk bawa ke JDT sudah lama tetapi itu terpulang kepada pemain tersebut.

“Buat masa ini dia masih muda dan lebih baik bermain di Eropah di peringkat tertinggi seberapa lama yang beliau mampu,” katanya ketika menjawab soalan peminat di laman Story Instagramnya, hari ini.