Media Korea Selatan pilih Vietnam layak ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022

PETALING JAYA: Media Korea Selatan meramalkan Vietnam yang dibimbing oleh ‘ahli silap mata’ negara itu, Park Hang-seo bakal melakar sejarah melangkah ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022.

Vietnam yang ketika ini mengungguli Kumpulan G dengan 11 mata, dua mata mengatasi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Malaysia dijangka mampu menewaskan Indonesia esok untuk mengukuhkan kedudukan.



Biarpun Indonesia yang ‘berwajah baharu’ dengan mendapat sentuhan seorang lagi jurulatih dari Korea Selatan, Shin Tae Yong menunjukkan peningkatan ketika mengikat Thailand 2-2, Jumaat lalu, namun Vietnam dilihat lebih ampuh.

Vietnam satu-satunya negara Asia Tenggara yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia dengan menghuni ranking ke-92 FIFA turut menjadi pilihan untuk mengatasi Malaysia, yang dibelasah oleh UAE 4-0 apabila kedua-dua pasukan bertemu, Sabtu depan.

Biarpun UAE mula menunjukkan peningkatan, terutama dengan kemenangan besar ke atas Harimau Malaya, namun media Korea Selatan percaya, Hang-seo akan membawa skuad Golden Dragons melakar kejayaan terbesar dalam sejarah bola sepak negara itu.





Vietnam akan menutup kempen Kumpulan G dengan bertemu UAE pada 15 Jun, yang dianggap penentu nasib mereka.

Yonhap News, Seoul Shimbun dan Sports Seoul semuanya memilih Vietnam akan menjuarai Kumpulan G, seterusnya melangkah ke pusingan ketiga kelayakan dan kemudian memasuki pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022 zon Asia.

“Dengan keadaan semasa dalam Kumpulan G, Vietnam mendahului kumpulan ini, dan pintu terbuka luas. Selagi mereka mendapat tempat pertama dalam kumpulan, Park Hang-seo dan pemainnya akan melakar sejarah,” tulis Yonhap News.




“Sekalipun jika Vietnam menamatkan kempen di tangga kedua, mereka masih berpeluang baik untuk layak (selaku empat naib juara terbaik dalam kalangan lapan kumpulan) biarpun penarikan diri Korea Utara menyukarkan semua negara. Semua mata kemenangan yang diraih ke atas pasukan tercorot akan dipotong,” tulis Sports Seoul.

“Jurulatih Shin Tae Yong membuat penampilan sulung yang berjaya ketika membantu Indonesia seri 2-2 dengan Thailand dan akan berdepan ‘derby’ dengan rakan senegara, Park Hang-seo yang membimbing Vietnam,” lapor Seoul Shimbun.

Bagaimanapun Yonhap News mengingatkan Hang-seo, dia tidak mempunyai rekod baik ketika berdepan Tae Yong di peringkat kelab sebelum ini.

Dalam Liga Korea (Liga-K), Tae Yong dan pasukannya, Seongnam Ilhwa (kini dikenali sebagai Seongnam FC) telah bertemu kelab bimbingan Hang-seo, Jeonnam Dragons dan Sangju Sangmu 10 kali dari 2009 hingga 2012.

Tae Yong mencatat lapan kemenangan, satu seri dan hanya satu kekalahan.