Harimau Malaya perlu kurangkan kesilapan individu dan fokus

KUALA LUMPUR: ‘Taring’ jentera serangan skuad Harimau Malaya perlu diasah setajam mungkin menjelang pertemuan dengan Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, tengah malam Sabtu ini.

Ia kerana berdasarkan statistik, skuad bimbingan Park Hang-Seo itu memiliki benteng pertahanan paling kebal dalam Kumpulan G apabila hanya bolos sekali selepas enam perlawanan.


Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe turut mengakui kekuatan pasukannya perlu ditambah sekiranya mahu meraih kemenangan dalam perlawanan penting itu.

“Kita tak boleh terus menyerang sahaja untuk dapatkan gol, kita juga perlu berhati-hati apabila berdepan Vietnam kerana kita tahu dari segi pertahanan mereka cukup kental. Kita kena kurangkan kesilapan individu, kita kena fokus saat kita menyerang dan waspada dengan serangan balas Vietnam.

“Memang setiap jurulatih ingin capai sesuatu apabila bertemu Vietnam yang dikatakan mempunyai pertahanan terbaik dalam kumpulan, tapi yang penting kita perlu yakin dam percaya terhadap pemain yang diturunkan,” katanya.

Vietnam berada di kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul 14 mata dan mereka hanya bolos sekali ketika menewaskan Indonesia 3-1 pada Oktober 2019.

Skuad Harimau Malaya pula menghuni tangga keempat dengan sembilan mata dan meledak lapan gol selain bolos 10 kali selepas enam perlawanan.

Selain itu, Cheng Hoe berharap barisan pemainnya tidak berada dalam tekanan kerana aksi berdepan Vietnam bakal mempengaruhu perjalanan mereka dalam kempen kelayakan kali ini.





“Kita sedar yang kita perlukan keputusan positif berdepan Vietnam. Kita kena berfikir positif dan apa saja keputusan kita kena terima.

“Dari segi rekod mereka ada kelebihan, tapi setiap perlawanan berbeza dan dengan situasi cuaca berbeza kita harap dapat kekalkan dari segi corak permainan pasukan kita,” katanya.

Sementara itu pengajar elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Dr Zulakbal Ab Karim menegaskan tidak mustahil untuk anak buah Tan Cheng Hoe meraih kemenangan walaupun Vietnam memegang rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan terakhir berdepan Malaysia.

“Kalau lihat atas kertas skuad yang ada, kita mempunyai kelebihan. Kita ada ramai nama besar yang memang teruji di peringkat antarabangsa yang mana paling kurang beraksi di ACL (Liga Juara Juara Asia) dan bermain di Eropah ujarnya.

Ditanya adakah Guilherme De Paula patut dikekalkan untuk aksi berdepan Vietnam selepas prestasi hambar ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Zulakbal menegaskan ia terpulang kepada penilaian Tan Cheng Hoe kerana hanya jurulatih yang mengetahui kelebihan dimiliki pemainnya.





Beliau yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagaimanapun mempersoalkan siapa lagi pilihan yang Cheng Hoe ada di bahagian serangan selain mengharapkan sentuhan luar biasa dari De Paula.

“Bagi Luqman (Hakim Shamsudin), ini penampilan pertama dia dan anda pernah nampak negara lain bawa pemain 19 tahun masuk pasukan senior kebangsaan terus jadi kesebelasan utama?

“Syafiq (Ahmad) pun semua orang tahu apa berlaku pada dia sebelum ini dan sebelum sertai Harimau Malaya berapa banyak Syafiq main kesebelasan utama? Jadi sekarang Cheng Hoe ada pilihan De Paula,” katanya.