JDT bukan pasukan tempelan saingan ACL

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu menepis tanggapan betapa kehadiran mereka bukan sekadar tempelan apabila memulakan saingan kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) aksi Kumpulan G menentang kelab Jepun, Nagoya Grampus di Stadium Rajamangala, Bangkok, esok.



Skuad Harimau Selatan terpaksa menarik diri musim lalu akibat pandemik COVID-19, namun itu cerita lama, sebaliknya aksi kali ini yang diadakan secara karnival diharap beri impak positif terhadap juara Liga Super tujuh musim berturut-turut.

Dibawah bimbingan Benjamin Mora, JDT seharusnya lebih matang dan mampu menyaingi kehebatan kelab dari Jepun, Korea Selatan dan Thailand yang turut sama mengharungi kempen berkenaan.

Jika dinilai prestasi semasa, Nagoya Grampus yang dibimbing pengendali dari Itali, Massimo Ficcadenti tampak memiliki kelebihan apabila berada di kedudukan kedua Liga Satu Jepun (Liga J), namun JDT tidak harus panik.





Mora harus bijak mempelbagaikan formasi bukan sahaja membuat persiapan menentang Nagoya Crampus, sebaliknya dengan taktikal lebih berkesan apabila menentang kelab dari Thailand, Ratchaburi FC dan Pohang Steelers (Korea Selatan).

Formasi 4-3-3 yang seringkali digunakan pengendali kelahiran Mexico itu harus diubah kepada 4-1-4-1, 4-4-2 atau 5-4-1 dengan perubahan bergantung bertujuan mengimbangi kekuatan lawan yang pastinya ingin menjadikan JDT pasukan belasahan.

Di posisi serangan, Mora memiliki banyak pilihan sama ada Bergson Da Silva dan Guilherme De Paula atau Syafiq Ahmad atau Ahmad Hazwan Bakri bagi mengoyak gawang penjaga gol Australia, Mitchell Langerak yang sebelum ini bersama Borussia Dortmund, VFB Stuttgart di Bundesliga dan Lavente di La Liga.





Aksi ACL juga menjadi medah terbaik buat Safawi Rasid kembali meningkatkan corak permainan selepas kurang menyerlah pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai baru-baru ini.

Di benteng, kehadiran Shane Lowry yang dijangka bergandingan dengan Mauricio dos Santos, diharap mampu membatasi gerakan lawan manakala di bek kiri dan kanan yang diperkuat Corbin Ong dan Matthew Davies juga dituntut lebih menyerlah.

Apapun, JDT harus turun dengan persembahan terbaik berdepan Nagoya Grampus untuk meraih tiga mata pertama yang pastinya akan mampu beri lebih keyakinan kepada mereka mengharungi baki aksi selepas itu.