Pohang Steelers patut menang besar berdepan JDT – Kim Gi-dong

Menurut pengendali Pohang Steelers, Kim Gi-dong, sebenarnya para pemainnya sedikit kepenatan ketika menang ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT), pada Khamis lalu.

Jika tidak, mereka mungkin bakal menang besar buat kali kedua, sebagaimana mereka menang 4-1 dalam pertembungan pertama pada Isnin lalu. Pohang Steelers menang 2-0 dalam aksi terkini dan Kim Gi-dong merasakan ia mengenai isu persediaan mereka.



“Perlawanan sebelum ini berlangsung lebih lewat, jadi para pemain berasa kepenatan kerana tidak dapat pulih sepenuhnya untuk turun beraksi kali ini [berdepan JDT],” jelas pengendali Pohang Steelers itu dalam sidang media sejurus perlawanan berakhir.

Tambahnya, “Begitupun, para pemain secara mentalnya telah melakukan yang terbaik untuk perlawanan ini dan saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pemain atas kejayaan ini. Saya suka dengan apa yang mereka tunjukkan dari segi mental.”

Juara tiga kali AFC Champions League itu berjaya meledak dua gol dalam tempoh empat minit, menerusi Lee Seung-mo pada minit ke-33 dan Kang Sang-woo pada minit ke-37. Mereka juga memiliki beberapa peluang untuk meledak lebih gol selepas itu.

“Perkara yang perlu kami perbaiki adalah keupayaan menterjemahkan peluang yang ada. Kami memiliki banyak peluang tetapi hanya berjaya menjaringkan dua gol sahaja dan kami harus meningkatkannya selepas ini,” tegas Kim Gi-dong lanjut.





Mengikut statistik selepas perlawanan, Pohang Steelers memiliki 12 percubaan, empat daripadanya adalah percubaan tepat. Striker utama, Borys Tashchy yang diharapkan untuk meledak jaringan mempersiakan tiga peluang yang dimilikinya.

Setakat ini, Borys Tashchy yang merupakan muka baharu skuad tersebut telah meledak tiga gol, ketika berdepan Ratchaburi Mitr Phol FC dan JDT. Jika tiga peluangnya itu diterjemahkan, sudah tentu mereka akan tersenyum puas.

Walaupun pengendalinya menyatakan mereka kepenatan, statistik mereka masih jauh mengatasi JDT. Mereka mengawal perlawanan dan merekodkan jumlah hantaran tertinggi dengan 484 hantaran berbanding JDT yang membuat 437 hantaran.

Mereka juga mencipta lebih banyak hantaran lintang dan hantaran jauh, malah lebih tepat berbanding Harimau Selatan. Jelas, mereka menguasai perlawanan itu.





Satu-satunya pemain yang cemerlang buat JDT adalah bek kanan, Matt Davies yang merekodkan rating 7.2. Ini kerana, beliau merupakan pemain terbanyak dalam perlawanan untuk melakukan bentesan dan berjaya membuat hadangan.

Pemain terburuk JDT pada perlawanan titu adalah pemain tengah, Natxo Insa apabila telah terlepas kawalan bola sebanyak 14 kali, kedua tertinggi selepas Sin Jin-ho.

Banyak lagi kerja rumah buat Benjamin Mora untuk saingan Champions League dan walaupun masih memiliki peluang untuk layak ke pusingan seterusnya, dua kemenangan yang diburu adalah sesuatu yang amat mustahil buat mereka.