England mantap sebab kelab cemerlang di Eropah – Kane

Rom: Harry Kane percaya pengalaman luas England di kejohanan dunia membuahkan hasil selepas dia meledak dua gol ketika menumpaskan Ukraine 4-0 untuk mara ke separuh akhir Euro 2020.

Skuad bimbingan Gareth Southgate juga mara ke separuh akhir di Piala Dunia 2018 sebelum mereka tumbang di tangan Croatia.



Bagaimanapun, Kane mengakui kejayaan kelab England di kejohanan tertinggi peringkat Eropah dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini adalah sebab utama mereka boleh menamatkan penantian 55 tahun untuk muncul juara di pertandingan utama menjelang aksi separuh akhir bertemu Denmark di Wembley Khamis ini.

“Kami bermain dengan kelab kami di perlawanan lebih besar. Perlawanan akhir Liga Juara-Juara, perebutan Liga Perdana Inggeris (EPL). Tugas masih belum selesai tapi kami di landasan yang tepat.

“Kami menetapkan visi sebelum Piala Dunia di mana kami mahu bergerak dalam satu pasukan.





“Aksi di Piala Dunia sangat hebat tapi kami terkandas, selepas itu kami beraksi pula dalam satu lagi separuh akhir di Liga Negara-Negara UEFA dan sekarang adalah misi untuk melepasi garisan berkenaan itu sepatutnya dilakukan Khamis ini,” kata Kane.

Kane dikritik hebat berikutan persembahan hambar ketika di peringkat kumpulan selepas dia hanya berjaya sekali saja melakukan percubaan tepat.

Bagaimanapun, penyerang Tottenham Hotspur itu sekarang ini sudah meledak tiga gol dalam dua perlawanan terakhir.





“Ramai yang memperkatakan mengenai saya dan persembahan saya tapi fokus saya adalah untuk aksi seterusnya bagi membantu pasukan ini mara ke final Euro.

“Banyak tekanan diberikan kepada kami. Sudah tentu kami adalah pasukan pilihan untuk memenangi aksi ini tapi kami juga berdepan dengan tekanan.

“Beraksi seperti yang kami lakukan adalah impian semua pasukan, empat gol dan sekali lagi tidak bolos, ia adalah malam sempurna buat kami,” kata ketua pasukan England itu.