TFC dapat talian hayat terakhir Piala AFC

KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) mendapat talian hayat terakhir untuk beraksi di pentas Piala AFC musim ini sekiranya dua kelab yang baru diserap secara automatik ke Kumpulan I sedia untuk untuk menjadi tuan rumah perlawanan.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan mengesahkan pasukan dari Kemboja, Visakha FC dan Timor Leste, Lalenok United diserapkan secara automatik ke kumpulan berkenaan bersama TFC dan Geylang International.



“Jawatankuasa pertandingan AFC sudah membuat keputusan untuk memberi slot peringkat kumpulan secara automatik buat Visakha FC dari Kemboja dan Lalenok United dari Timor Leste selepas aksi playoff mereka dibatalkan.

“Maklumat lanjut mengenai jadual serta venue perlawanan akan dimaklumkan oleh AFC dalam masa terdekat,” kata AFC.

Semalam, AFC menjelaskan empat kumpulan iaitu D, G, H dan I yang membaitkan zon Asia Tenggara dan Asia Selatan terpaksa ‘dikorbankan’ selepas badan induk berkenaan tidak menerima sebarang tawaran daripada mana-mana negara untuk menjadi tuan rumah.





Terdahulu dilaporkan TFC dan satu lagi wakil negara di Piala AFC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang berada dalam Kumpulan H sudah boleh melupakan impian beraksi di kejohanan itu selepas tiada pasukan yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John juga dilaporkan berkata pihaknya akan membuat keputusan muktamad pembatalan saingan bagi empat kumpulan itu hingga tempoh diberikan untuk mana-mana pasukan menjadi tuan rumah berakhir, esok.




“Jawatankuasa pertandingan memutuskan bahawa mana-mana saingan kumpulan yang tiada tuan rumah boleh dibatalkan. Masih ada beberapa hari untuk kita terima jika ada mana-mana pasukan boleh beri tawaran menjadi tuan rumah,” katanya.

Sebelum ini, Singapura menarik diri daripada menjadi tuan rumah bagi aksi Kumpulan H dan I saingan Piala AFC berikutan situasi pandemik COVID-19 yang masih berada pada tahap membimbangkan.