Amzar disambar kelab Bosnia

KUALA LUMPUR: Kisah penghijrahan Luqman Hakim Shamsudin ke Eropah menjadi antara inspirasi buat pemain muda, Muhamamad Rafieq Al-Amzar Zulkifeli memberanikan diri menyertai kelab Bosnia and Herzegovina, NK Zvijezda Gradacac.

Pemain berusia 19 tahun yang lebih mesra disapa Amzar itu baru sahaja menandatangani kontrak selama setahun bersama kelab itu kelmarin dan akan menyertai skuad bawah 23 (B-23) tahun sebagai permulaan.




Anak kedua daripada lima beradik itu mengakui sedar akan berdepan banyak cabaran baharu terutama perlu berdikari mengharungi kehidupan di luar negara seorang diri.

“Perasaan saya bercampur antara gembira, tak sabar dan ada juga rasa takut kerana ini kali pertama akan duduk lama di luar negara seorang diri.

“Insya-Allah saya akan buat yang terbaik dan yang paling penting saya dapat pengalaman dan ilmu kerana apabila balik ke Malaysia saya sudah bersedia untuk bermain dengan mana-mana pasukan.





“Luqman adalah contoh terbaik bagi saya. Semua saya sudah bersedia, cuma saya nak kena biasakan diri dengan cuaca, budaya, makanan dan saya perlu kuatkan mental.

“Saya ada satu tahun (kontrak) dan sasaran saya nak berikan persembahan terbaik untuk pastikan kontrak itu dilanjutkan lagi selepas ini,” katanya kepada BH Sukan.

Sebelum ini, BH Sukan pernah melaporkan bahawa Amzar menyimpan cita-cita tinggi untuk bergelar pemain bola sepak profesional seperti dua idolanya, Cristiano Ronaldo dan Safawi Rasid.





Amzar pernah menjadi seorang daripada 10 pemain muda terpilih untuk menyertai TH Global Football Fantasia Camp 2020 di Real Madrid.

Sementara itu, bapanya, Zulkifeli menganggap Amzar mungkin tidak berdepan masalah untuk berjauhan dari keluarga berdasarkan pengalamannya berada di asrama sejak zaman sekolah.

“Jurulatih di sana bagi tahu kalau persembahan bagus dan merit bagus, Insya-Allah akan usahakan (kontrak) yang lebih besar kepada Amzar,” katanya.