AFC B23 2022: FAM hantar skuad B-20

KUALA LUMPUR: Bukan skuad Bawah 23 tahun (B-23), sebaliknya skuad B-20 akan menjadi pertaruhan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk beraksi pada kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia, Oktober depan.



Perkembangan itu diumumkan Pengarah Teknikalnya, Datuk Ong Kim Swee yang menjelaskan ia sebagai program jangka masa panjang untuk skuad B-23 menghadapi kelayakan Sukan Olimpik 2024 di mana barisan pemain yang perlu dipersiapkan ke arah itu akan terdiri daripada skuad B-20 ketika ini.

“Keputusan ini sudah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum ini dan seterusnya mendapat persetujuan serta kelulusan daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM.

“Kelompok pemain ini akan kita sediakan lebih awal bermula tahun ini bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Oktober ini dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada tahun 2023 selain dua edisi Sukan SEA di Vietnam dan Kemboja.





“Jadi, kelompok pemain ini akan diberikan lebih banyak pendedahan dan persiapan jangka panjang yang lebih awal bagi kempen kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 itu termasuk beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 ini serta kejohanan lain bagi peringkat usia B-22 atau B-23 yang akan datang,” kata Kim Swee.

Terdahulu, skuad negara diundi dalam Kumpulan J bersama dua lagi jiran Asia Tenggara, Thailand dan Laos sementara Mongolia melengkapkan satu lagi pasukan dalam kumpulan itu bagi pusingan kelayakan terbabit.





Mengulas mengenai undian pusingan kelayakan itu, Kim Swee menegaskan tiada laluan mudah buat skuad negara memandangkan pemain B-20 yang akan beraksi menentang pemain yang lebih berusia berbanding mereka.

“Apa yang lebih penting, pendedahan kepada pemain ini untuk mereka dipersiapkan menjelang saingan kelayakan seterusnya pada 2023.

“Jadi, kita perlu bersiap sedia dengan persiapan yang lebih baik untuk layak ke pusingan akhir dan jika berjaya layak, ia satu bonus untuk pemain ini didedahkan dengan kejohanan yang lebih tinggi sebelum ke kelayakan seterusnya pada 2023,” katanya.