JDT terima habuan RM251,445

Kuala Lumpur: Walaupun gagal melangkah jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini, skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap mampu tersenyum lebar apabila dijangka menerima laba hampir AS$60,000 atau RM251,445.



Jumlah berkenaan adalah hasil satu kemenangan dan seri yang dilakar skuad Harimau Selatan dalam Kumpulan G selepas mencatatkan keputusan itu ke atas kelab dari Thailand, Ratchaburi FC.

Manakala, empat lagi aksi berdepan pasukan dari Jepun, Nagoya Grampus dan Pohang Steelers dari Korea Selatan berakhir dengan kekalahan untuk menamatkan kempen di tangga ketiga kumpulan.

Penyertaan di ACL sememangnya lumayan dan oleh sebab itu banyak kelab terutamanya di Jepun, Korea Selatan dan Thailand berlumba-lumba untuk meraih tiket ke saingan itu setiap musim.




Untuk rekod, kemenangan setiap perlawanan dalam kumpulan menyaksikan hadiah wang tunai sebanyak AS$50,000 (RM209,534) dan seri sejumlah AS$10,000 (RM41,906).

Hadiah kemenangan itu akan terus meningkat di pusingan berikutnya hingga ke final yang mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit.

Ini bermakna biarpun kempen JDT tidak secemerlang di saingan liga domestik namun kejayaan membawa pulang wang tunai itu sedikit melegakan skuad Harimau Selatan itu.




Selain itu, kejayaan mengumpul empat mata dalam enam aksi peringkat kumpulan turut menyaksikan JDT menyumbang mata dalam ranking MA Malaysia untuk berada pada tangga ke-18 Asia.

Ia sekali gus mengekalkan satu slot buat wakil negara di pentas ACL pada 2023 serta dua tiket ke Piala AFC.